KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Tawau menangguhkan prosiding melibatkan tujuh pertuduhan rogol tambahan terhadap seorang bapa yang sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun kerana merogol dua anak perempuannya.
Tertuduh, seorang guru tuisyen berusia 53 tahun dari Lahad Datu, berdepan tujuh lagi pertuduhan membabitkan dakwaan merogol anak sulungnya yang kini berusia 25 tahun.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes selepas dimaklumkan bahawa beberapa laporan perubatan penting berkaitan mangsa masih belum diperoleh bagi melengkapkan prosiding sebelum hukuman dijatuhkan.
Pada 6 Mei lalu, tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan yang dikemukakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Tawau.
Berdasarkan pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa hotel sekitar daerah Tawau antara Disember tahun lalu hingga 19 Mac tahun ini.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhayl Aminin Sallehuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Prosiding terbaru itu susulan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada 8 April lalu terhadap lelaki sama.
Dalam prosiding tersebut, Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap satu daripada 11 pertuduhan rogol melibatkan kedua-dua anak perempuannya yang berusia 25 dan 22 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan secara berturut-turut, menjadikan keseluruhan hukuman penjara selama 165 tahun, selain 10 sebatan bagi setiap pertuduhan. - Getaran, 23 Jun 2026
