KUALA LUMPUR - Dua pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pembantu rumah tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Hirzihaziq Abulae, 30, dan isterinya, Nurfarah Ainna Hazhar, 34, serta Muhamad Firdaus Sha’aban, 33, dan isterinya, Nurafiqah Nabilah Hazhar, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita warga Indonesia, Yulia Arnida, 34, di sebuah rumah di Jalan Ledang, Tampoi, pada jam 8.30 malam, 22 Disember tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret lain, Muhamad Firdaus dan Nurafiqah turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua lagi pembantu rumah, Yatina Yusnita dan Siti Hajar.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Delima 2/6, Taman Daya, antara jam 2 petang hingga 4 petang pada 11 Jun lalu.
Sementara itu, Muhamad Hirzihaziq dan Nurfarah Ainna turut berdepan dua pertuduhan berasingan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap Siti Hajar dan Yatina Yusnita dengan niat menimbulkan ketakutan kepada mangsa.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kampung Melayu Majidee pada jam 2 petang, 12 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhamad Firdaus turut berdepan dua lagi pertuduhan memiliki pasport milik Siti Hajar dan Yatina Yusnita tanpa alasan munasabah atau kuasa yang sah di Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada jam 7.30 malam, 13 Jun lalu.
Mahkamah membenarkan Nurfarah Ainna dan Muhamad Hirzihaziq diikat jamin RM9,000 setiap seorang, manakala Muhamad Firdaus dibenarkan diikat jamin RM11,500 dan Nurafiqah RM5,500.
Mahkamah menetapkan 23 Julai depan untuk penyerahan dokumen kes, manakala satu lagi kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 Julai. - Getaran, 22 Jun 2026

