KUALA LUMPUR - Pemimpin kanan UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mengumumkan peletakan jawatan beliau daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta, selepas mendakwa UMNO Johor telah kehilangan autonomi, dan tidak lagi bebas membuat keputusan politik sendiri.
Pengumuman mengejutkan tersebut dibuat hanya beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dan kurang 24 jam selepas beliau memberi bayangan secara terbuka mengenai ketidakpuasan hatinya terhadap perkembangan dalam kepimpinan parti di peringkat negeri.
Dalam satu kenyataan tegas yang dimuat naik di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, keputusan berkenaan membolehkannya mengkritik parti secara terbuka tanpa dituduh melemahkan UMNO dari dalam.
“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta merta mulai hari ini 25 Jun 2026. Oleh itu UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya. Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang.
"Kini saya bebas mengkritik UMNO satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut menolak dakwaan peletakan jawatannya didorong oleh kepentingan peribadi, sebaliknya menegaskan, beliau meninggalkan parti ketika UMNO dilihat berada dalam kedudukan politik yang kukuh menjelang PRN Johor.
“Ada yang akan menuduh saya keluar UMNO kerana kepentingan diri. Buat apa saya keluar ketika UMNO dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi.
"Saya tinggalkan UMNO di saat KJ (Khairy Jamaluddin) Hishamuddin (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), Noh Omar (Tan Sri Noh Omar) kembali masuk UMNO bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan. Mereka atau saya?”soalnya, sinis.
Tegas Mohd Puad, tindakan terbabit dibuat selepas mendapati UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan, sebaliknya dikawal oleh Istana dalam proses membuat keputusan.
Dakwa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu, perkara itu dimaklumkan sendiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepadanya.
“Satu bukti jelas ialah YAB Dato Onn Hafiz sendiri buat pengakuan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun 2026 (Ahad).
“Dia maklum kepada saya bahawa pihak Istana yang titah kepada beliau agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026,” katanya.
Dakwanya, terlalu banyak contoh boleh diberi untuk membuktikan Onn Hafiz hanya boneka yang mengikut arahan.
“Banyak lagi contoh contoh lain Onn Hafiz hanya pak turut. Itu menjadikan UMNO Johor boneka yang terikat.
“Saya perlu melakukan ‘keberanian politik’ mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi parah,” katanya.
Mengakui keputusan berkenaan akan membuka ruang untuk dirinya dikecam dan dihina, Mohd Puad berkata, beliau tidak pernah gentar untuk bertempur.
“Saya sedar saya akan dikecam dan dihina. Mungkin juga keselamatan saya terancam. Tetapi berbekalkan ‘keberanian politik’, saya bersedia bertempur dalam apa jua keadaan.
“Saya tidak mahu UMNO dipimpin oleh ‘Pengecut Politik’ sehingga menyebabkan calon BN (Barisan Nasional) diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan ‘mediocre’. Saya bertawakkal kepada Allah. Kaulah pelindung yang tidak ada tolok bandingnya,” katanya.
Peletakan jawatan Mohd Puad dibuat sehari selepas ADUN Rengit itu mengulas pengumuman calon-calon bagi menghadapi PRN Johor.
Ketika itu, beliau membayangkan wujud masalah serius dalam UMNO Johor selepas meneliti senarai calon yang diumumkan oleh gabungan berkenaan.
“Melihat senarai calon tersebut ada yang tidak kena kepada UMNO Johor. Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan.
“Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya menerusi satu hantaran, Selasa lalu.
Keputusan mengejut diambil Mohd Puad dijangka meningkatkan perhatian terhadap dinamika dalaman UMNO Johor ketika parti itu bersiap sedia menghadapi kempen PRN negeri.
Ini memandangkan pengaruh beliau yang kukuh di Batu Pahat, selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat dan mewakili kawasan Rengit di DUN Johor. - Getaran, 25 Jun 2026

