KUALA LUMPUR - Seorang pelayan restoran warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdagangkan seorang remaja perempuan bagi tujuan eksploitasi seksual.
Tertuduh, Nur Aisyah Udin, 20, yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan, Nur Aisyah didakwa memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, 10 bulan dan 15 hari bagi tujuan eksploitasi seksual di sebuah bilik inap desa di Jalan Masjid (Fajar), kira-kira jam 5.30 petang pada 2 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dan Suhayl Aminin Sallehuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam hujahnya, Nur Nisla memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira wang tunai RM150 yang dirampas daripada mangsa selepas dipercayai baru selesai melayan pelanggan, sekali gus menunjukkan wujud unsur eksploitasi seksual dalam kes berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam serbuan Ops Pintas (Pelacuran) yang dijalankan sempena Pesta Kaamatan di premis berkenaan.
Ketika serbuan, pihak berkuasa menemui mangsa yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran.
Siasatan lanjut mendapati mangsa berada di bawah jagaan tertuduh yang dipercayai bertindak sebagai ‘ibu ayam’ dengan mengawal serta menguruskan aktiviti pelacuran di lokasi tersebut.
Dalam prosiding berasingan pada hari sama, Nur Aisyah turut mengaku bersalah memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Bagi kesalahan itu, dia yang didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), turut berdepan hukuman penjara tambahan selama enam bulan.
Hakim Ahmad Faizadh memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan secara berasingan (berturut-turut) dan mengarahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman. - Getaran, 23 Jun 2026
.jpg)
