KUALA LUMPUR - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan diarahkan oleh pihak istana, sebaliknya ia dibuat mengikut prosedur.
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, Pengerusi Umno Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kenyataan tersebut sebagai satu penyelewengan terhadap proses perlembagaan.
Menurut beliau, pembubaran DUN yang diumumkan 1 Jun lalu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Johor.
Tegasnya, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkan DUN secara unilateral kerana proses tersebut tertakluk kepada Perlembagaan Johor dan memerlukan perkenan Diraja sebelum ia berkuat kuasa.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
“Pembubaran DUN dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, selaras dengan Perkara 23 Bahagian Kedua Perlembagaan Johor 1895,” katanya hari ini.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang mendakwa DUN Johor dibubarkan atas arahan Istana Johor.
Jelas Onn Hafiz, beliau sendiri telah mempersembahkan perkara itu kepada Pemangku Sultan Johor sebelum mengumumkan pembubaran DUN kepada rakyat.
Katanya, mendapatkan perkenan Diraja adalah satu keperluan perlembagaan dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai arahan atau campur tangan politik oleh pihak Istana.
“Proses perlembagaan mendapatkan perkenan Diraja tidak boleh diputar belit sehingga mewujudkan naratif bahawa Institusi Diraja campur tangan dalam keputusan politik yang dibuat oleh Umno Johor,” katanya.
Menurut beliau, kenyataan yang melibatkan institusi Raja mempunyai implikasi serius serta boleh menyentuh isu sensitif 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja, walaupun Puad berhak meninggalkan Umno dan mempunyai pandangan berbeza dengan kepimpinan parti.
Onn Hafiz memberi amaran, dakwaan sedemikian berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat serta menimbulkan salah faham mengenai peranan Institusi Diraja.
Sehubungan itu katanya, Umno Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menentukan sama ada tindakan lanjut perlu diambil.
“Semua pihak perlu menghormati Institusi Diraja, menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Johor serta tidak mengheret Institusi Diraja ke dalam pertikaian politik,” katanya. - Getaran, 25 Jun 2026

