KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Seremban hari ini memerintahkan seorang pemandu remaja yang menyebabkan kemalangan maut sehingga meragut tiga nyawa di Matahari Heights, Seremban, ditempatkan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah selepas tertuduh berusia 18 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Mahkamah memutuskan hukuman tersebut selepas meneliti laporan sosial yang dikemukakan pegawai akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain mengambil kira hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan pegawai akhlak selama setahun selepas tamat menjalani tempoh tahanan di Sekolah Henry Gurney.
Dalam prosiding sama, ibu tertuduh diikat jamin untuk berkelakuan baik selama tiga tahun dengan bon jaminan RM4,000 mengikut Seksyen 93(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Bagi pertuduhan kedua iaitu memandu tanpa lesen mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tertuduh didenda RM2,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan ibu bapa tertuduh membayar pampasan RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa di bawah Seksyen 426A Kanun Tatacara Jenayah.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hafiza Ishak, berkata pihak pendakwaan sebelum itu memohon supaya kenyataan impak mangsa dibacakan di mahkamah sebelum mengemukakan hujahan pemberatan, selain mencadangkan hukuman penjara terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah memilih untuk menempatkan tertuduh di Sekolah Henry Gurney seperti yang disyorkan pegawai JKM.
Peguam bela, Johan Radzi, berkata permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penempatan itu ditolak mahkamah walaupun pihaknya memaklumkan anak guamnya masih berdepan masalah kesihatan akibat kemalangan berkenaan.
Dalam kejadian yang berlaku pada Mac tahun lalu, sebuah kereta Honda Jazz yang dipandu tertuduh didakwa melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh dua motosikal.
Akibat kemalangan, tiga remaja iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, Muhammad Aswari Lotpi dan Aisar Azim Abdullah maut di lokasi kejadian.
Keputusan mahkamah itu bagaimanapun mengundang rasa kecewa dalam kalangan ahli keluarga mangsa, dengan salah seorang ibu mangsa menyifatkan hukuman berkenaan tidak mampu mengembalikan kehilangan yang ditanggung keluarga mereka. - Getaran, 24 Jun 2026
