KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa saman difailkan 12 plaintif terhadap ahli perniagaan dan dermawan, Datuk Vinod Sekhar, berhubung dakwaan pelaburan yang dibuat lebih dua dekad lalu, telah selesai di peringkat kes plaintif selepas mereka gagal mengemukakan keterangan lanjut.
Peguam plaintif, Colin Pereira, memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya tidak lagi mempunyai saksi atau bukti tambahan untuk dikemukakan.
Susulan itu, peguam bela Datuk Vinod, Datuk Seri Rajan Navaratnam, berhujah bahawa plaintif gagal membuktikan tuntutan mereka sebagaimana dikehendaki undang-undang, sekali gus menjadikan kes tersebut sebagai “tiada kes untuk dijawab”.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan plaintif untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu keputusan rayuan terhadap perintah yang membatalkan sapina ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah turut mengarahkan plaintif membayar kos sebanyak RM5,000 kepada pihak defendan.

Rajan berkata, permohonan penangguhan itu difailkan pada 24 Jun selepas plaintif merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Anwar untuk mengetepikan sapina dikeluarkan terhadap beliau.
Bagaimanapun, beliau berhujah, plaintif gagal menunjukkan sebarang keadaan luar biasa yang boleh menjadi asas kepada penangguhan prosiding.
Menurutnya lagi, keputusan membatalkan sapina dibuat ketika perbicaraan sedang berlangsung dan tidak boleh dirayu.
Mahkamah menerima hujahan tersebut dan memutuskan tiada alasan kukuh untuk menangguhkan prosiding.
Selepas plaintif secara rasmi menutup kes mereka, pihak pembelaan memohon agar mahkamah memutuskan bahawa defendan tidak perlu dipanggil membela diri kerana plaintif gagal memenuhi beban pembuktian di bawah Seksyen 101 Akta Keterangan 1950.
Mahkamah kemudian mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum menetapkan 2 Oktober ini bagi sesi penjelasan dan penghujahan lisan. - Getaran, 26 Jun 2026

