KUALA LUMPUR - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes disyaki bunuh selepas mayat seorang wanita ditemukan di dalam sebuah bagasi di sebuah unit kediaman di Taman Impian Indah, Kajang.
Kematian wanita terbabit terbongkar, selepas pemilik rumah berkenaan membuat laporan polis, apabila gagal menghubungi mangsa.
Pemilik rumah yang enggan dikenali itu berkata, beliau beberapa kali cuba menghubungi penyewa wanita terbabit, namun tidak menerima sebarang maklum balas sebelum mengambil keputusan untuk pergi ke rumah berkenaan.
“Saya cuba menghubungi penyewa wanita itu beberapa kali tetapi gagal. Jadi saya pergi ke rumah untuk memeriksa keadaan. Sebaik masuk, saya terhidu bau busuk, manakala rumah pula dalam keadaan kotor sebelum menemui sebuah bagasi yang mengandungi mayat wanita itu,” katanya.
Beliau berkata, penyewa yang dipercayai merupakan warga Nepal itu mula menyewa rumah berkenaan kira-kira tiga bulan lalu dan tinggal bersama seorang lelaki.
"Selepas beberapa kali gagal menghubunginya, saya pergi memeriksa rumah sewa itu petang semalam.
“Keadaan rumah sangat kotor, terdapat kesan air kumbahan dan bau yang sangat kuat. Di sudut ruang tamu terdapat sebuah kotak kadbod besar yang dipenuhi pakaian serta kain, selain terdapat air kumbahan yang mengalir keluar daripadanya,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah bagasi yang berat di dalam kotak berkenaan.
“Saya dapati bagasi itu membengkak dan sukar dibuka. Kerana bimbang, saya terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihaknya menerima laporan pada kira-kira jam 8.37 malam berhubung penemuan satu mayat yang belum dikenal pasti di premis berkenaan.
Beliau berkata, sepasukan anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikerahkan ke lokasi, sebelum menemukan mayat mangsa dalam sebuah bagasi yang diletakkan di ruang tamu rumah tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Nur Ayuni Aziz di talian 016-2080717 atau menghubungi talian kecemasan NG MERS 999 bagi membantu siasatan. - Getaran 29 Jun 2026
.jpg)
