KUALA LUMPUR - Dua lelaki rentung selepas kereta BMW 328i Sport yang dinaiki terbabas, sebelum merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, kereta dipandu seorang pemuda tempatan berusia 22 tahun dipercayai hilang kawalan ketika dipandu pada kelajuan tinggi sebelum terbabas.
Polis berkata, pemandu merupakan pelajar Universiti Brisbane, Australia, manakala penumpang hadapan ialah lelaki tempatan berusia 21 tahun yang juga pelajar Universiti Sunway.
Turut berada di dalam kenderaan itu ialah seorang penumpang belakang warga Singapura berusia 20 tahun.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Kedua-dua mangsa dipercayai tersepit di dalam kenderaan yang terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut polis, penumpang belakang warga Singapura berjaya keluar daripada kenderaan sebelum api marak dan hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan serta kaki.
Mangsa dibawa ke HKL untuk menerima rawatan lanjut.
Polis berkata, siasatan di lokasi kejadian telah dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran serta mengambil keterangan awal daripada mangsa yang terselamat.
Proses pengecaman identiti dua mangsa yang rentung akan dijalankan menerusi analisis asid deoksiribonukleik (DNA).
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Getaran, 27 Jun 2026

