CARACAS - Venezuela kini berdepan krisis kemanusiaan yang semakin buruk selepas dua gempa bumi kuat melanda negara itu dalam tempoh singkat, dengan angka korban rasmi meningkat kepada 1,430 orang, manakala pasukan penyelamat terus berlumba dengan masa untuk mengesan puluhan ribu mangsa yang masih hilang di bawah timbunan runtuhan.
Pihak berkuasa memaklumkan sekurang-kurangnya 68,900 individu dilaporkan hilang oleh ahli keluarga mereka, dengan jumlah kehilangan tertinggi direkodkan di negeri pesisir La Guaira serta ibu negara, Caracas.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) menganggarkan lebih enam juta penduduk berkemungkinan terjejas akibat bencana itu, sekali gus menjadikannya antara krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarah moden Venezuela.
Bantuan antarabangsa kini mula tiba menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Simón Bolívar yang mengalami kerosakan teruk, selepas operasi kecemasan di lapangan terbang itu berjaya dipulihkan secara berperingkat.
Pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jeremy Lewin, berkata satu landasan kini boleh digunakan semula bagi membolehkan pesawat membawa anggota penyelamat, hospital bergerak dan bekalan bantuan kemanusiaan memasuki negara itu.
Tentera AS turut menyelaraskan penerbangan bantuan, manakala sebuah kapal pengangkut Tentera Laut AS berlabuh di perairan berhampiran bagi menerima mangsa yang memerlukan rawatan perubatan segera.
Dalam pada itu, kemarahan penduduk semakin memuncak apabila ramai menyifatkan tindak balas kerajaan sebagai tidak memadai dalam menangani bencana berkenaan.
Mangsa yang terselamat mendakwa anggota tentera, bomba dan polis gagal mengendalikan skala bencana yang begitu besar, selain menuduh pihak berkuasa lebih mengutamakan penampilan awam berbanding operasi menyelamat.
Seorang penduduk, Yeison Marcano, mendakwa petugas hanya hadir untuk bergambar tanpa membantu usaha menyelamat secara serius.
“Mereka datang makan arepa dan bergambar seolah-olah sedang bekerja. Mereka langsung tidak mengotorkan pakaian seragam seperti kami yang sudah tiga hari berada di sini,” katanya.
Di bandar pesisir Caraballeda pula, penduduk mendakwa mereka menemui banyak mayat termasuk bayi yang masih belum dipindahkan oleh pasukan kecemasan.
Seorang lagi penduduk, Mileidy Romero, berkata masih terdapat mangsa yang dipercayai hidup di bawah runtuhan, namun belum menerima bantuan.
“Pada pukul 8 malam semalam masih ada orang yang hidup di bawah sana, tetapi tiada siapa datang menyelamatkan mereka. Apa lagi yang mereka tunggu?” katanya.
Sehingga kini, tahap sebenar kemusnahan masih belum dapat dipastikan apabila ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah bangunan runtuh, manakala angka korban dijangka terus meningkat apabila operasi mencari dan menyelamat diteruskan.
Pada masa sama, timbul persoalan mengenai keupayaan kerajaan mengagihkan bantuan antarabangsa secara berkesan susulan laporan bahawa beberapa sekatan tentera mengehadkan akses ke kawasan paling teruk terjejas serta mewajibkan permit khas untuk memasuki lokasi bencana.
Bencana itu turut menjadi cabaran besar kepada Pemangku Presiden, Delcy Rodríguez, yang kini berdepan kritikan domestik ketika pentadbirannya mengendalikan antara operasi bantuan dan pemulihan terbesar dalam sejarah negara itu. - Getaran, 28 Jun 2026
