PATTAYA - Seorang lelaki warga Australia didakwa membunuh seorang remaja perempuan berusia 17 tahun selepas mayat mangsa ditemukan disumbat ke dalam sebuah bagasi dan ditinggalkan berhampiran landasan kereta api di bandar peranginan Pattaya, Thailand.
Suspek, dikenali sebagai Simon Peter Carman, ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, awal pagi Sabtu ketika dipercayai cuba meninggalkan Thailand.
Polis Thailand berkata, lelaki itu didakwa atas kesalahan membunuh dengan niat, menyembunyikan mayat, memindahkan atau memusnahkan mayat serta menculik seorang individu bawah umur bagi tujuan tidak bermoral.
Ketua Polis Pattaya, Kolonel Polis Anek Srathongyoo berkata, jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati mengikut undang-undang negara itu.
Menurut beliau, suspek membuat pengakuan separa dengan mendakwa tidak berniat membunuh mangsa, namun mengakui mencekiknya sehingga maut selepas berlaku pertengkaran.
“Siasatan mendapati mereka bertengkar di dalam kondominium sebelum suspek mencekik mangsa sehingga meninggal dunia,” katanya.
Kes itu terbongkar selepas rakan mangsa membuat laporan kehilangan pada Jumaat, memaklumkan remaja terbabit kali terakhir dilihat berjalan bersama seorang lelaki warga asing sebelum menghilangkan diri.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian menunjukkan mangsa dan suspek memasuki sebuah kondominium kira-kira jam 3.35 pagi Khamis.
Pemeriksaan di unit berkenaan menemukan pasport milik suspek, namun kedua-duanya sudah tiada di lokasi.
Polis turut memperoleh rakaman CCTV yang memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek mengheret sebuah bagasi hitam bersaiz besar keluar dari kondominium tersebut.
Mayat mangsa, dikenal pasti sebagai Tunchanok Donhomla, kemudian ditemukan di dalam bagasi berkenaan yang dibuang di kawasan semak berhampiran landasan kereta api, tidak jauh dari Pantai Pattaya.
Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek berkenalan ketika bersiar-siar di kawasan pantai pada Rabu malam sebelum bersetuju menghabiskan masa bersama di kondominium milik suspek.
Mangsa, yang merupakan anak tunggal keluarganya, dilaporkan baru beberapa hari tiba di Pattaya sebelum kejadian.
Polis percaya selepas pertengkaran berlaku, suspek mencekik mangsa sebelum memasukkan mayat ke dalam bagasi dan membuangnya di luar bangunan.
Bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian serta mendapatkan bukti forensik.
Pihak berkuasa memaklumkan siasatan masih diteruskan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia mengesahkan sedang memberikan bantuan konsular kepada seorang rakyatnya yang ditahan di Thailand, namun enggan mengulas lanjut.
Polis Thailand turut memaklumkan suspek masih belum melantik peguam.
Ibu tiri mangsa, Oradee Bussarakum, berkata, keluarganya mula bimbang selepas melihat laporan media mengenai penemuan sebuah bagasi berisi mayat.
"Kami sangat takut. Kami hanya berharap ia bukan seperti yang kami sangkakan. Kini mata kami bengkak kerana terlalu banyak menangis,” katanya. - Getaran, 30 Jun 2026
