KUALA LUMPUR - Sebanyak 4,557 kes kehilangan kanak-kanak direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang 2021 hingga 2025.
Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kecuali penurunan sementara pada tahun 2023, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, 594 kes direkodkan pada 2021 sebelum meningkat kepada 903 pada 2022.
“Jumlah itu kemudian menurun sebanyak 13.8 peratus kepada 778 kes pada 2023 sebelum kembali meningkat kepada 1,063 kes pada 2024 dan 1,219 kes pada 2025,” katanya dalam jawapan bertulis pada sidang Dewan hari ini.
Saifuddin menyatakan demikian sebagai menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai langkah-langkah yang diambil bagi menangani peningkatan trend kes kehilangan kanak-kanak sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
Beliau berkata, semua laporan kehilangan kanak-kanak segera diklasifikasikan sebagai kes "Orang Hilang" bagi membolehkan siasatan dan operasi pencarian dijalankan serta-merta tanpa perlu menunggu tempoh masa tertentu.
"PDRM telah memperkukuh penyelarasan antara agensi dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imigresen, pihak sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta media bagi mempercepatkan usaha mengesan dan menyelamatkan kanak-kanak yang hilang,” katanya.
Beliau memberitahu, platform digital turut diperkasa menerusi portal khas kanak-kanak hilang di laman web rasmi PDRM, bagi memperluaskan akses orang ramai kepada maklumat serta mempercepatkan usaha mengesan mangsa.
"Program advokasi dan kesedaran awam mengenai keselamatan kanak-kanak juga dilaksanakan secara berterusan, termasuk berkaitan risiko melarikan diri dari rumah, eksploitasi dalam talian, pengaruh media sosial, serta kepentingan pemantauan oleh ibu bapa dan penjaga," katanya.
Beliau berkata, peranan Pegawai Perhubungan Sekolah turut diperkukuh dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan pelajar serta pemantauan terhadap kes kehilangan berulang.
Kementerian itu turut memaklumkan, polis sedang mengenal pasti faktor utama yang menyumbang kepada kehilangan kanak-kanak, termasuk konflik keluarga, pengaruh rakan sebaya, masalah emosi, eksploitasi seksual, penggunaan media sosial yang tidak terkawal, serta kecenderungan melarikan diri dari rumah atau institusi jagaan. - Getaran, 30 Jun 2026
.jpg)
