KUALA LUMPUR - Rundingan sulit antara UMNO dan PAS bagi membentuk persefahaman politik untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan telah menyumbang kepada sikap terlalu yakin dalam kalangan kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, rundingan tertutup melibatkan pemimpin kedua-dua parti berteraskan nasionalisme Melayu itu didakwa telah berlangsung sejak PRN Johor yang lalu.
Menurut beliau, persefahaman awal yang dicapai dikatakan memerlukan PAS tidak bertanding pada PRN Johor, sekali gus membuka laluan kepada BN untuk menyapu bersih kesemua 56 kerusi DUN.
“Pemimpin UMNO termasuk Datuk Megat (Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin) percaya rundingan itu berjaya dan UMNO akan menang besar di Johor.
“Bila perkara itu dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 10 Jun, saya dan beberapa yang lain mengingatkan bahaya berunding dengan PAS. Perundingan boleh diteruskan jika tujuannya untuk menang PRN atau PRU,” katanya.
Jelas Mohd Puad, kerjasama itu tidak akan berjaya jika ia berpusatkan kepada penyatuan ummah.
“Lagi baik fokus kepada Musyawarah Nasional dipengerusikan oleh Tan Sri Ghani Othman,” katanya, sinis.
Menempelak sikap segelintir pemimpin parti yang disifatkan sebagai ‘terlebih yakin’, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata, kelompok terbabit juga percaya UMNO akan menang besar pada PRN Johor kali ini.
“Ada juga yang berpandangan kalau Bossku (Datuk Seri Najib Razak) masih di dalam (penjara) semasa PRN Johor tidak mengapa.
“Kerjasama UMNO-PAS ini lebih besar impaknya walaupun Bossku tidak dapat membantu kempen,” katanya.
Dedah beliau, itu adalah punca pemimpin UMNO menjadi terlalu ego dan terlebih yakin.
“Malangnya kerjasama PAS-UMNO gagal. Politik BN jadi caca marba.
“Ia diburukkan lagi dengan dengan barisan calon BN yang anti aspirasi orang muda, kitar semula dan mediocre,” katanya.
Mohd Puad, yang sering lantang menyuarakan pandangan mengenai isu dalaman parti, meninggalkan UMNO pada 25 Jun lalu selepas tidak bersetuju dengan senarai calon BN bagi PRN Johor. - Getaran, 29 Jun 2026

