KUALA LUMPUR - Polis menahan 331 individu serta membongkar aktiviti pertaruhan haram bernilai lebih RM2.62 juta menerusi operasi khas di seluruh negara bagi membanteras sindiket pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian yang mengambil kesempatan daripada kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, Op Soga XI yang bermula 11 Jun lalu akan diteruskan sehingga 19 Julai ini, bagi memberi tumpuan kepada kegiatan pertaruhan sukan haram dan perjudian dalam talian yang dijangka meningkat sepanjang kejohanan bola sepak berprestij itu.
Menurutnya, sebanyak 293 serbuan dijalankan di seluruh negara, membawa kepada penahanan 331 suspek terdiri daripada 312 lelaki dan 19 wanita yang dipercayai terbabit dalam operasi pertaruhan haram.
“Daripada jumlah itu, 234 suspek adalah warga tempatan manakala 97 lagi merupakan warga asing.
“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM145,005.09 serta mengesan transaksi pertaruhan haram bernilai RM2,625,529.46,” katanya hari ini.
Beliau berkata, siasatan turut mengenal pasti 185 platform digital termasuk laman sesawang, aplikasi, akaun media sosial dan perkhidmatan dalam talian lain yang digunakan untuk mempromosikan serta mengendalikan aktiviti pertaruhan bola sepak haram.
Katanya, polis kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyekat laman sesawang serta menurunkan kandungan berkaitan kegiatan perjudian haram itu.
Semua suspek dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Akta Imigresen 1959/63 bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
M. Kumar berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan di seluruh negara selain memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi melumpuhkan sindiket perjudian haram.
“Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras rangkaian pertaruhan haram yang kini semakin aktif menggunakan platform digital untuk meluaskan kegiatan mereka,” katanya. - Getaran, 29 Jun 2026
.jpg)