KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang tular selepas dipercayai bertindak menyerang pemandu sebuah Perodua Myvi di persimpangan jalan tampil memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut menerusi ruangan komen di aplikasi TikTok.
Menggunakan akaun @acoi2.0 di TikTok, dia turut merayu agar video yang memaparkan kejadian itu dipadamkan.
Menurutnya, tindakan tersebut berlaku selepas dia hilang sabar apabila pemandu Myvi terbabit didakwa memotong kereta dipandunya dalam jarak yang terlalu rapat sehingga hampir menyebabkan kemalangan.
Dakwanya, dia bersama isteri serta bayi mereka yang baru dilahirkan, justeru tindakan pemandu Myvi itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya.
Tegasnya, dia bertindak demikian akibat rasa marah selepas mendakwa nyawa isteri dan anaknya hampir terancam akibat tindakan pemandu berkenaan.
“Kalau saya accident tadi macam mana? Dia dah membahayakan saya, isteri dan anak saya. Siapa tak marah kalau macam samseng pancung kereta orang.
“Saya pun ajarlah dia cara beradab. Saya balas kat dia sikit je tu berbanding dengan risiko saya tadi,” tulisnya.
Bagaimanapun, penjelasan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata menganggap tindakannya tidak wajar walaupun berdepan situasi yang mencetuskan kemarahan.
Seorang pengguna, ohmignonette, berkata kesalahan pemandu lain bukan alasan untuk bertindak secara fizikal.
“Kalau betul pun orang itu salah, itu bukan alasan untuk turun kereta dan bertindak secara fizikal. Simpan rakaman dashcam, catat nombor pendaftaran dan buat laporan polis. Lebih-lebih lagi apabila bersama isteri dan anak. Beberapa minit hilang sabar boleh menyebabkan masalah yang jauh lebih besar,” katanya.
Seorang lagi pengguna, shariff_aqua, berkongsi pendapat senada dengan berkata, mengamuk bukan penyelesaian terbaik walaupun pemandu kenderaan biru itu melakukan kesalahan.
“Salah tetap salah, tetapi kita ada undang-undang. Boleh buat laporan polis. Dengan kemarahan seperti itu, masalah tidak akan selesai, malah mewujudkan masalah baharu,” tulisnya.
Sementara itu, pengguna alphathron1985 menyifatkan tindakan lelaki tersebut sebagai tidak matang dan mempersoalkan rayuannya supaya video berkenaan dipadamkan.
“Dia pun macam samseng. Bertindak tanpa guna otak. Merayu orang padam video lagi,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.
Video insiden yang dikongsi Pachai Thamizhan 2.0 boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/share/r/19818t3WEF/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 25 Jun 2026