KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan penghakiman berhubung rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasannya selepas seorang daripada tiga hakim dalam panel berkenaan mengambil cuti sakit.
Bercakap kepada pemberita di luar Istana Kehakiman, Syed Saddiq berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah serta institusi kehakiman negara, yang disifatkannya sebagai saluran sewajarnya untuk mendapatkan keadilan.
"Saya menghormati keputusan hakim-hakim yang arif dan saya menghormati Badan Kehakiman sebagai institusi terakhir tempat individu seperti saya memperoleh keadilan, bukan melalui jalan pintas tetapi menerusi perbicaraan yang berasaskan fakta dan bukti di bawah institusi kehakiman.
"Saya faham keadaan ini berlaku di luar jangkaan, sebab itu sukar untuk saya mengulas lebih lanjut," katanya.
Syed Saddiq berkata, beliau telah bersedia dari segi mental untuk menerima apa jua keputusan selepas berjuang dalam kes itu selama enam tahun.
"Bagi saya secara peribadi, ini bukan kes baharu. Saya telah menghabiskan enam tahun untuk memperjuangkan nama baik, integriti dan maruah saya.
"Jika saya perlu menunggu dua minggu lagi, saya menerima dan akur dengan keputusan mahkamah," tambahnya.
Mahkamah tertinggi negara itu menangguhkan keputusan yang asalnya dijadualkan hari ini kepada 13 Julai berikutan ketiadaan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang dilaporkan mengambil cuti sakit selama dua hari.
Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Abu Bakar Jais berkata panel berkenaan telah selesai membuat pertimbangan, namun tidak dapat menyampaikan keputusan tanpa kehadiran ketiga-tiga hakim.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menerima penangguhan itu dan mendoakan agar hakim yang tidak hadir segera sembuh.
"Kami mendoakan agar Datuk Che Ruzima Ghazali segera pulih. Perkara seperti ini boleh berlaku. Kita hanya perlu bersabar," katanya.
Pihak pendakwaan sebelum ini memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025 yang membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, salah guna harta secara tidak jujur dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq.
Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan pembebasan itu.
Pertuduhan berkenaan melibatkan dakwaan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana Armada berjumlah RM1 juta, salah guna secara tidak jujur wang RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, serta dua transaksi pengubahan wang haram membabitkan RM50,000 yang dipindahkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik Syed Saddiq. - Getaran, 30 Jun 2026
.jpg)