KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan lima sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi beberapa operasi berasingan sepanjang tiga bulan lalu dengan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM300.72 juta.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Amran Ahmad berkata, kesemua sindiket menggunakan modus operandi hampir sama dengan menyembunyikan dadah di dalam penghantaran barangan sah serta mengemukakan pengisytiharan kargo palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, rampasan terbesar tahun ini dilakukan pada 15 Jun lalu di Westports, Pelabuhan Klang apabila pemeriksaan terhadap sebuah kontena menemukan 18,870 kotak minuman mengandungi cecair disyaki heroin.
“Hasil pemeriksaan mendapati cecair disyaki heroin itu berjumlah 3,396.6 liter dengan anggaran nilai RM169.83 juta.
“Penghantaran itu berasal dari sebuah negara di Asia Barat, transit di Malaysia sebelum dijadualkan dihantar ke Australia,” katanya pada sidang media ibu pejabat JKDM di Putrajaya hari ini.
Dalam kes kedua pada 18 Mei lalu, JKDM merampas 161.39 kilogram (kg) putik ganja bernilai RM12.91 juta yang disorok di dalam 41 kotak di sebuah syarikat logistik di KLIA Cargo.
Amran berkata, sindiket mengisytiharkan penghantaran tersebut sebagai makanan kering untuk dieksport ke sebuah negara di Eropah.
Susulan itu, dua ejen penghantaran tempatan berusia lingkungan 20an dan 30an direman bagi membantu siasatan.
Dalam operasi ketiga pada 13 Mei di Pusat Mel Antarabangsa Pos Malaysia (PMIH), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), JKDM menahan seorang warga asing yang membawa bungkusan mengandungi 2.68kg serbuk disyaki Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
Serbuan susulan di bilik hotel suspek membawa kepada penahanan dua lagi warga asing serta rampasan pelbagai jenis dadah seberat 3.43kg dan 0.0086kg bahan psikotropik dengan nilai keseluruhan RM978,778.
Sementara itu, pada 12 Mei lalu, JKDM merampas lapan kotak di sebuah gudang dalam Zon Perdagangan Bebas KLIA yang mengandungi 220.30kg pil disyaki MDMA bernilai kira-kira RM33.05 juta.
Dalam kes kelima pada 9 April lalu, pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Westports menemukan 2,099 bungkusan plastik mengandungi 1,049.5kg putik ganja dianggarkan bernilai RM83.96 juta.
Menurut Amran, penghantaran itu berasal dari sebuah negara Asia Tenggara sebelum transit di Malaysia dan dijadualkan dieksport semula ke sebuah negara di Eropah.
Tambahnya lagi, siasatan terhadap semua kes masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian jenayah yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah di peringkat antarabangsa. - Getaran, 1 Julai 2026

