KUALA LUMPUR - Kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun yang ditemukan maut di dalam longkang berhampiran kediamannya di Sungai Sumun, Hutan Melintang, Perak malam tadi disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Teluk Intan mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat lemas, dan tiada sebarang kecederaan fizikal atau unsur jenayah ditemui.
Menurutnya, mangsa dilaporkan hilang pada jam 4.54 petang semalam dari rumah keluarganya di Kampung Baru Sungai Sumun.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak autistik itu kali terakhir dilihat bapanya berada di ruang tamu rumah sebelum disedari hilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebaik menyedari kehilangan mangsa, ahli keluarga bersama penduduk kampung menjalankan pencarian di sekitar kawasan sebelum membuat laporan polis.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak serta penduduk setempat.
Mayat mangsa ditemukan terapung di dalam longkang kira-kira jam 10 malam, pada jarak lebih kurang 330 meter dari rumahnya.
Mangsa ditemui masih lengkap berpakaian sebelum dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.
Pemeriksaan awal di lokasi tidak menemukan sebarang kesan kecederaan atau petunjuk berlakunya perbuatan jenayah.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam pada itu, Mohammad Ali merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menghargai kerjasama semua agensi dan orang awam yang terlibat dalam operasi pencarian.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan demi menghormati privasi keluarga mangsa. - Getaran, 1 Julai 2026
