KUALA LUMPUR - Perpecahan dalaman dalam Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berisiko melemahkan kekuatan gabungan itu dan berpotensi memberi kelebihan taktikal kepada Barisan Nasional (BN).
Penganalisi politik dari ILHAM Centre, Hisomuddin Bakar berkata, ketegangan berterusan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sahaja menjejaskan hubungan kedua-dua parti dalam gabungan itu, malah turut menghakis imej PN sebagai sebuah gabungan politik yang bersatu.
Menurut beliau, isu sebenar bukan kerana PAS terlalu lemah atau Bersatu terlalu kuat.
“Kedua-dua parti sebelum ini merupakan formula mengukuhkan jenama PN di Johor sehingga membolehkannya mencabar BN di negeri yang dianggap kubu kuat UMNO dan BN.
"Namun, apabila wujud ketidakkonsistenan dalam pengaturan strategi PN, kedua-dua parti akhirnya berisiko kehilangan keyakinan pengundi," katanya, seperti dilaporkan Astro Awani.
Hisomuddin berkata, perpecahan yang berlaku secara terbuka itu boleh memberi kesan besar khususnya kepada pengundi muda, yang cenderung menyokong gabungan politik yang dilihat stabil, bersatu dan bebas daripada pertikaian dalaman.
"Jika pengundi muda melihat setiap hari kenyataan yang saling menyerang antara satu sama lain, mereka akan lebih cenderung memilih parti yang mempamerkan imej lebih bersatu dan tidak dibelenggu kontroversi.
"Sekiranya pertelingkahan dalaman berlaku secara terbuka di media sosial dan media arus perdana, ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi emosi serta cara pengundi yang rasional membuat keputusan," katanya.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 8 Jun lalu mengumumkan penamatan kerjasama politik parti itu dengan Bersatu.
Susulan penamatan, PAS memaklumkan jentera pilihan rayanya tidak akan membantu calon Bersatu sepanjang kempen PRN Johor.
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Johor memiliki 2,727,926 pengundi berdaftar, dengan 1,297,931 atau kira-kira 47.6 peratus daripadanya berusia antara 18 hingga 39 tahun, iaitu kelompok yang dilihat semakin berpengaruh dalam menentukan keputusan pilihan raya.
Pengundian awal bagi PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 7 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai 2026. - Getaran, 1 Julai 2026
.jpg)
