KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan pemandu sebuah lori selepas tayar simpanan kenderaan tersebut tercabut dan terjatuh, sehingga mengakibatkan kematian seorang anggota polis yang menunggang motosikal.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, berkata, mangsa, anggota polis berpangkat sarjan maut, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan mereka melanggar tayar lori berkenaan di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), semalam.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6 pagi itu membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.
"Siasatan awal mendapati kereta yang dalam perjalanan dari Juru ke Seberang Jaya dipercayai melanggar tayar di tengah jalan, disyaki tercabut daripada sebuah lori yang masih belum dikenal pasti, menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu kiri jalan.
"Pada masa sama, sebuah motosikal yang datang dari arah sama turut melanggar tayar berkenaan, menyebabkan penunggangnya terjatuh dan terseret di atas jalan," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 40 tahun dikenali sebagai Norshairul Subkri Salim bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis.
“Allahyarham disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta bersama dua penumpangnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Dennis berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik HSJ mengesahkan punca kematian mangsa adalah kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan jalan raya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala polis sedang mengesan pemilik lori yang dipercayai menjadi punca utama kemalangan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aliza Fatim Ismail di talian 017-404 6215 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis untuk dikebumikan malam tadi. - Getaran, 2 Julai 2026
