KUALA LUMPUR - Sebahagian pemandu kenderaan komersial yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah mengaku mengambil bahan terlarang bagi membantu mereka berjaga ketika memandu dalam tempoh yang panjang.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, maklumat tersebut diperoleh susulan beberapa siri operasi penguatkuasaan di seluruh negara, yang memfokuskan aspek keselamatan jalan raya dan penyalahgunaan dadah.
Menurut beliau, 44 operasi bersepadu telah dilaksanakan sepanjang April hingga Jun lalu di lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur, melibatkan pemandu kenderaan komersial seperti lori, bas serta pengangkut bahan berbahaya.
"Dalam operasi itu, seramai 135 individu ditahan, terdiri daripada 121 pemandu lori dan 14 individu lain. Angka ini menunjukkan hampir 90 peratus daripada mereka yang ditahan ialah pemandu kenderaan komersial," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Hasbullah memberitahu, pihak berkuasa turut menjalankan 713 saringan awal air kencing sepanjang operasi berkenaan, yang dilaksanakan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Mereka yang ditahan terdiri daripada pemandu treler, lori, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah dan kenderaan membawa barangan berbahaya, selain pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) serta Lesen Memandu Barangan (GDL).
“Pemeriksaan turut merangkumi pengesahan lesen vokasional dan dokumen syarikat bagi memastikan hanya pemandu yang layak serta bebas daripada penyalahgunaan dadah dibenarkan berada di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, kesemua 135 individu itu didakwa mengikut pelbagai peruntukan Akta Dadah Berbahaya, termasuk Seksyen 15(1), Seksyen 3(1), Seksyen 12(2), Seksyen 39A dan Seksyen 6.
“Metamfetamin merupakan bahan terlarang yang paling banyak dikesan dalam kalangan pemandu lori.
“Syarikat pengangkutan dan pengendali kenderaan komersial perlu sentiasa melaksanakan pemantauan serta saringan air kencing secara berkala terhadap pemandu, bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan jalan raya,” katanya. - Getaran, 1 Julai 2026

