KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Projek Laluan LRT3 Shah Alam bukan dibuat untuk bermegah atau mendabik dada, sebaliknya demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Selangor.
Menzahirkan perkara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, projek tersebut merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran, demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhan.
Titah baginda, LRT3 itu diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.

“Beta ingin menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan pelaksanaan projek Laluan LRT3 Shah Alam yang akhirnya dapat direalisasikan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat Selangor, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.
“Beta ingin memberi penghargaan (credit) kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mendengar titah beta agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, Najib pada 2015 telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh baginda sendiri, pada satu majlis berbuka puasa sekitar tahun 2015, dan cadangan tersebut diterima tanpa sebarang keraguan.
“(Cadangan itu) Susulan keluhan dan rintihan dalam banyak surat yang beta terima daripada surir umah mengenai suami mereka yang kerap sampai lewat ke rumah selepas waktu kerja kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan khususnya.
“Ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk,” titah baginda.
Baginda bertitah, pentadbiran Najib pada waktu itu memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018, sebagai langkah penyuraian trafik segera.
Projek tersebut bagaimanapun titah baginda, tergendala lebih 18 bulan apavila berlaku pertukaran kerajaan pada 2018, dengan tambahan 19 bulan akibat wabak COVID-19 sehingga 2021.
“Ketika itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada DAP bersama penasihatnya Tony Phua dari DAP telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya ini merupakan projek ”Mega” sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
“Ketika Kementerian Kewangan (MOF) di bawah pentadbiran Guan Eng (DAP) dan Tony Phua (DAP) juga, saiz setiap stesen telah dikecilkan dan jumlah gerabak keretapi dikurangkan, manakala lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga telah dibatalkan,” titah baginda.

Menerusi titah sama, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyambung semula projek terbabit, dan mengembalikan semula lima stesen yang telah dibatalkan, selain membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi menambah kemudahan rakyat.
“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas beta ucapkan kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim “ titah baginda.
Bagjnda bertitah, pembukaan LRT3 itu diharapkan berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta memberikan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa selamat selamat kepada rakyat, khususnya yang tinggal di Klang dan Shah Alam, tetapi bekerja di Kuala Lumpur.
“Beta juga berharap pihak Prasarana dapat menyelenggara dengan baik laluan LRT3 ini supaya dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna.
“Beta juga tidak mahu ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata,” titah baginda. - Getaran, 1 Julai 2026
