KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Norway membatalkan penghantaran sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia meskipun kerajaan telah menjelaskan 95 peratus daripada nilai kontrak, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai contoh jelas amalan “double standard” dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa.
Berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-37 hari ini, Anwar berkata Malaysia akan terus mendapatkan penyelesaian melalui saluran diplomatik dan perundangan, namun menegaskan insiden tersebut mencerminkan kecenderungan pihak tertentu mengamalkan layanan berbeza terhadap pematuhan norma antarabangsa.
Menurut beliau, pendirian Malaysia terhadap syarikat pembekal dan kerajaan Norway adalah jelas, selain mempersoalkan sama ada sesetengah negara dibenarkan mengabaikan undang-undang antarabangsa manakala negara lain dikenakan standard pematuhan yang jauh lebih ketat.
Dalam sesi soal jawab persidangan itu, Anwar mendedahkan beliau sendiri telah mengutus surat kepada pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan Norway.
Katanya, beberapa pemimpin Eropah memberi jaminan bahawa tindakan Norway tidak mencerminkan pendirian rasmi EU terhadap Malaysia.
Beliau berkata Presiden Perancis Emmanuel Macron, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan pemimpin Jerman masing-masing memaklumkan bahawa keputusan tersebut bukan pendirian bersama EU.
Anwar turut mempertikaikan alasan Norway yang mendakwa lesen eksport dibatalkan atas faktor keselamatan.
“Saya bertanya kepada Perdana Menteri Norway, apakah kaitan faktor keselamatan dengan perkara ini? Adakah mereka fikir kita mahu menjual peluru berpandu kepada Al-Qaeda?” katanya.
Menurut beliau, Malaysia turut mendapatkan penjelasan daripada Amerika Syarikat berhubung kemungkinan wujud tekanan terhadap Norway untuk membatalkan urus niaga itu.
Katanya, Washington menegaskan pihaknya tidak mempengaruhi atau memberi tekanan kepada Norway berhubung keputusan berkenaan.
Pada 15 Mei lalu, Norway mengesahkan telah menarik balik lesen eksport berkaitan sistem NSM dengan alasan kawalan lebih ketat terhadap teknologi pertahanan sensitif susulan perubahan landskap keselamatan global.
Empat hari kemudian, kerajaan Malaysia mengemukakan notis tuntutan kepada kontraktor pertahanan Norway bagi menuntut ganti rugi melebihi RM1 bilion selepas kontrak itu dibatalkan walaupun hampir keseluruhan bayaran telah dibuat.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menolak dakwaan bahawa kerajaan membuat bayaran awal sebanyak RM571.9 juta bagi perolehan sistem peluru berpandu tersebut.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan pembayaran dibuat mengikut syarat kontrak selepas pembekal berjaya menyiapkan semua perkara seperti yang dipersetujui.
Menurut beliau, sistem peluru berpandu itu telah siap sepenuhnya, melepasi semua ujian yang ditetapkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sedia untuk dihantar sebelum Norway membatalkan lesen eksport.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa kontrak berkenaan tidak mempunyai peruntukan yang melindungi kepentingan kerajaan.
Katanya, perjanjian itu mengandungi klausa yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku kegagalan pelaksanaan atau pelanggaran syarat kontrak. - Getaran, 2 Julai 2026

