web statsweb stats

Berita Terkini

3 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


PRN Johor: Kempen Masuki Fasa Penentuan, Calon Ganda Usaha Raih Sokongan 

Politik Dikemaskini 3 jam yang lalu · Diterbitkan pada 06 Jul 2026 1:06PM

Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini memasuki fasa paling kritikal apabila Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) saling memperhebat usaha memikat hati pengundi dengan menawarkan pendekatan berbeza menjelang hari pengundian, 11 Julai nanti.

BN menumpukan kempen kepada kesinambungan pentadbiran di bawah Menteri Besar sementara, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan mengetengahkan prestasi ekonomi Johor selain berjanji meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan jangka panjang menerusi agenda Johor Maju 2030 sekiranya diberikan mandat baharu.

PH pula membawa naratif bahawa Johor akan memperoleh manfaat lebih besar sekiranya pentadbiran negeri sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Menurut gabungan itu, kerjasama yang lebih erat antara Putrajaya dan Johor mampu mempercepatkan kemasukan pelaburan, pembangunan infrastruktur serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Ketika melancarkan manifesto pilihan raya PH, Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, pertumbuhan ekonomi Johor walaupun memberangsangkan, masih belum diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bernilai tinggi yang mencukupi untuk rakyat negeri itu.

Beliau berkata, negeri itu berpotensi menjadi hab yang menawarkan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi, sekiranya pelan pembangunan Johor digabungkan dengan kekuatan Kerajaan Persekutuan.

“Rakyat Johor juga tidak lagi perlu berulang-alik merentasi Tambak Johor setiap hari semata-mata untuk mencari rezeki,” katanya.

Manifesto PH turut menawarkan pelbagai inisiatif termasuk bantuan kepada pembeli rumah pertama, perlindungan kesihatan yang lebih menyeluruh serta langkah meningkatkan taraf hidup rakyat dalam usaha memperluas sokongan di seluruh negeri.

Sementara itu, BN Johor yang Onn Hafiz terus menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan politik, dengan berhujah, mandat yang lebih kukuh akan membolehkan kerajaan negeri meneruskan program kebajikan, reformasi ekonomi dan projek pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan.

Memasuki minggu terakhir kempen, pemimpin kanan kedua-dua gabungan dilihat turun padang di seluruh Johor bagi memperkukuh jentera pilihan raya masing-masing, mencerminkan kepentingan strategik PRN kali ini.

PH berulang kali menggesa pengundi yang berada di luar Johor supaya pulang mengundi, dengan keyakinan bahawa kadar keluar mengundi yang lebih tinggi mampu membantu gabungan itu mempertahankan kerusi-kerusi penting serta mengurangkan dominasi BN, meskipun mengakui laluan untuk membentuk kerajaan negeri bukan sesuatu yang mudah.

Dalam masa sama, Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut memperhebat kempen dengan menyertai calon dan jentera parti di pelbagai kawasan bagi mengukuhkan sokongan akar umbi.

Pemerhati politik berpandangan, peratusan keluar mengundi bakal menjadi faktor penentu keputusan pilihan raya.

Sehubungan itu, parti-parti politik sedang memuktamadkan pelbagai persiapan logistik bagi memastikan seramai mungkin penyokong hadir mengundi, termasuk menyediakan pengangkutan percuma menggunakan kereta, van dan motosikal kepada penyokong serta warga emas di 1,140 pusat mengundi di seluruh Johor.

Beberapa parti turut mengatur pengangkutan khas dari Singapura bagi membawa pulang lebih 200,000 pengundi Johor yang bekerja di republik itu, dalam usaha meningkatkan kadar keluar mengundi berbanding 54 peratus direkodkan pada PRN lalu.

Pengundi yang bekerja di Singapura dilihat mempunyai pengaruh besar di beberapa kawasan selatan Johor seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Pasir Gudang, Tebrau dan Pontian, yang kebanyakannya merupakan kubu tradisi PH.

Sepanjang kempen, kedua-dua gabungan memberi penekanan kepada isu peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan mampu milik, penjagaan kesihatan, mutu perkhidmatan kerajaan tempatan serta penambahbaikan infrastruktur termasuk pengangkutan awam dan bekalan air.

Satu lagi medan persaingan penting ialah 73 tanah rancangan Felda di Johor yang mempunyai lebih 150,000 pengundi dan dijangka mempengaruhi keputusan di antara 25 hingga 30 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun sebelum ini kawasan Felda dianggap sebagai kubu kuat BN, corak sokongan berubah dengan ketara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 apabila PH berjaya memenangi lebih sedozen kerusi, sekali gus menjadikan kelompok pengundi itu sasaran utama kedua-dua gabungan.

Sepanjang hujung minggu lalu, Anwar menghadiri sekurang-kurangnya 14 program kempen di 13 kawasan DUN, termasuk beberapa kerusi yang dijangka menyaksikan persaingan sengit seperti Puteri Wangsa, Layang-Layang, Bukit Batu, Larkin dan Perling.

Dalam siri jelajah berkenaan, beliau bertemu golongan belia, pemimpin agama serta masyarakat setempat sambil menggesa pengundi pulang mengundi dan memilih wakil rakyat yang berintegriti serta berwibawa.

Zahid pula meneruskan siri kempen di seluruh negeri dengan menyeru rakyat memberikan BN mandat yang lebih besar daripada 40 kerusi yang kini dikuasainya, selain menegaskan komitmen gabungan itu untuk melaksanakan semua janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali menjangkakan, kempen akan menjadi lebih rancak dalam tempoh beberapa hari terakhir sebelum pengundian, dengan kemungkinan timbul isu-isu baharu yang boleh mempengaruhi sentimen pengundi.

Beliau berkata, pertikaman lidah antara Anwar dan Onn Hafiz berhubung Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menunjukkan bagaimana isu yang tidak dijangka boleh muncul sepanjang tempoh berkempen.

“Saya tidak menolak kemungkinan kerajaan akan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai projek itu kepada umum, sebagaimana dilakukan ketika kerajaan negeri menuntut 25 peratus hasil kutipan yang dijana di Johor,” katanya.

Mazlan berpandangan BN masih mempunyai kelebihan untuk mengekalkan pentadbiran negeri, namun penglibatan aktif Anwar dan Zahid menunjukkan PRN Johor mempunyai kepentingan politik yang lebih besar kerana keputusannya dijangka mempengaruhi momentum menjelang PRN Negeri Sembilan dan seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-16.

Beliau turut berpandangan, kenyataan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mengaitkan kemenangan besar BN dengan peluang Najib memperoleh pengampunan diraja mungkin memberi kesan berbeza kepada pengundi.

“Pandangan bahawa kemenangan besar BN mencerminkan sokongan rakyat terhadap Najib serta harapan beliau memperoleh pengampunan diraja mungkin tidak diterima baik oleh sebahagian pengundi Cina dan golongan Melayu kelas pertengahan,” katanya.

Mazlan menjangkakan kedua-dua pemimpin utama negara, Anwar dan Zahid, akan kembali ke Johor bagi mengadakan pusingan terakhir kempen sebelum rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai. - Getaran, 6 Julai 2026

Berita Berkaitan

1

Politik 2 jam yang lalu

PRN Johor: 3,500 Polis Johor Bertugas Untuk Undi Awal Esok 

2

Politik 22 jam yang lalu

PRN Johor: Pertahan Keputusan BN Bertanding Solo, ‘Kami Tak Khianat’ - Zahid

3

Politik 1 hari yang lalu

‘Menang Atau Kalah, Saya Tetap Perdana Menteri’ - Anwar

4

Politik 1 hari yang lalu

Kemenangan Pilihan Raya Bukan Mandat Untuk Ampun Individu Tertentu - Sivamalar

Sorotan

1

Pasangan Warga Emas Maut Motosikal Dirempuh Kereta Di Tanjong Karang

2

Harimau Kumbang Di Lebuh Raya Berhampiran Tasik Kenyir, Orang Ramai Digesa Berhati-Hati

3

SUV Rempuh Surau Sekolah, 2 Wanita Indonesia Maut

4

PRN Johor: Pertahan Keputusan BN Bertanding Solo, ‘Kami Tak Khianat’ - Zahid

5

Buat Aksi ‘Fast & Furious’ Di Jalan Raya, Pemandu Tanpa Lesen Diburu Polis

6

Ekonomi Kebencian: Apabila Perpecahan Menjadi Model Perniagaan

Disyorkan untuk anda

Politik 1 hari yang lalu

‘Menang Atau Kalah, Saya Tetap Perdana Menteri’ - Anwar

oleh Sophia Ahmad

Semasa 3 minit yang lalu

Lagi Kes Tikam Pelajar: ‘Anak Saya Ditikam 14 Hingga 16 Kali’ - Bapa Mangsa

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Malaysia Tidak Terikat Beri Hak Sama Rata Kepada Pemegang Kad UNHCR - Pakar

oleh Wartawan Getaran

Semasa 19 jam yang lalu

Malaysia, Singapura Laksana Sistem Imigresen Digital Baharu, Berkuat Kuasa Januari 2027

oleh Sophia Ahmad