KUALA LUMPUR - Malaysia dan Singapura dijangka melaksanakan sistem imigresen digital baharu serta menambah laluan di sempadan menjelang Januari 2027, bagi melancarkan pergerakan di Tambak Johor.
Langkah tersebut diyakini berupaya mengurangkan kesesakan di antara pintu sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan akan dilancarkan bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, sebaik semua persiapan teknikal dan infrastruktur sokongan siap sepenuhnya.
Berucap pada program Temu Anwar Johor Ke Depan hari ini, beliau menegaskan projek berkenaan sedang dilaksanakan dan bukan janji baharu sempena pilihan raya, kerana pengumuman janji ketika tempoh kempen boleh melanggar peraturan pilihan raya.
“Insya-Allah saya akan melancarkannya bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, apabila semuanya siap, dijangka pada Januari nanti.
“Ia akan menyelesaikan pelbagai isu termasuk pelaksanaan sistem imigresen digital yang lebih moden bagi memudahkan pergerakan,” katanya.
Anwar berkata, Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Imigresen sedang mempergiat usaha mempercepatkan proses pelepasan penumpang di pintu masuk negara sebagai sebahagian daripada agenda pemodenan sistem imigresen.
Menurut beliau, sistem itu apabila beroperasi kelak, turut merangkumi kaedah perjalanan baharu antara Singapura dan Johor Bahru bagi mempercepatkan urusan keluar masuk.
Katanya, kerajaan akan terus menambah baik operasi di pintu sempadan bagi menampung peningkatan jumlah pelancong dan pengguna harian walaupun perkhidmatan imigresen kini jauh lebih baik berbanding tiga tahun lalu.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan penambahbaikan kecekapan di sempadan sahaja tidak mencukupi untuk menangani cabaran sedia ada.
Kerajaan jelas beliau, turut memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dalam negara, supaya rakyat tidak lagi bergantung kepada pekerjaan di Singapura.
Katanya, pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pusat data dan teknologi canggih merupakan antara strategi kerajaan bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi di Malaysia.
“Kita mahu menyelesaikan isu ini kerana ramai rakyat yang bekerja di Singapura terpaksa beratur selama berjam-jam setiap hari. Mereka tidak sepatutnya terus dibebankan dengan keadaan ini dan kita perlu mencari penyelesaiannya.
“Kita perlu memanfaatkan AI, pusat data serta teknologi moden supaya rakyat dapat bekerja di negara sendiri dengan pendapatan yang baik tanpa perlu berulang-alik ke Singapura,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan memastikan harga rumah kekal mampu milik ketika Johor terus menerima pelaburan dan mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Tambah beliau, inisiatif perumahan mampu milik termasuk Rumah MADANI penting bagi memastikan golongan muda, khususnya di Johor Bahru, berpeluang memiliki kediaman walaupun permintaan terhadap hartanah semakin meningkat.
Katanya, kerajaan akan meneruskan usaha memperkukuh infrastruktur, memacu transformasi ekonomi serta memperluas penyediaan rumah mampu milik secara serentak bagi memastikan pembangunan Johor memberi manfaat kepada rakyat dan komuniti perniagaan yang beroperasi di koridor Malaysia-Singapura. - Getaran, 5 Julai 2026

