KUALA LUMPUR - Seorang pelajar perempuan Tingkatan sebuah sekolah menengah di Banting hari ini mengalami kecederaan serius selepas dipercayai ditikam antara 14 hingga 16 kali.
Perkara itu dimaklumkan bapanya, Mohd Firuz Ibrahim, 43, yang berkata, kebanyakan kesan tikaman mengenai bahagian belakang badan dan muka sehingga menyebabkan paru-paru kiri anaknya cedera.
"Paru-paru kiri turut terjejas dan kini doktor sedang memasukkan tiub untuk mengeluarkan darah," katanya ketika ditemui di Hospital Banting.
Menurut Mohd Firuz, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak keduanya daripada tiga beradik itu selepas menerima panggilan daripada guru mangsa kira-kira jam 9.30 pagi.
"Sebaik menerima panggilan, saya terus bergegas ke hospital. Apabila tiba, saya lihat keadaan anak saya sangat serius.
"Saya dimaklumkan terdapat antara 14 hingga 16 kesan tikaman pada bahagian belakang badan dan muka," katanya.
Beliau berkata, anaknya kini berada dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.
Menurutnya, mangsa mengenali suspek berusia 15 tahun itu kerana mereka pernah belajar dalam kelas yang sama ketika Tingkatan Dua.
"Saya dimaklumkan suspek kini sedang bercuti bagi mendapatkan rawatan peribadi. Saya tidak pasti sama ada dia mempunyai dendam terhadap anak saya atau tidak.
"Saya tidak fikir anak saya menjadi sasaran, sebaliknya kebetulan berada berhampiran suspek ketika kejadian. Anak saya juga tidak pernah mengadu diganggu suspek sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Selangor mengesahkan suspek kini berada dalam tahanan polis dan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
"Keutamaan utama ketika ini adalah memastikan pelajar yang cedera menerima rawatan terbaik di samping membantu keluarga mangsa.
"Pasukan guru kaunseling telah digerakkan bagi menyediakan sokongan serta intervensi psikososial kepada pelajar, warga pendidik dan kakitangan sekolah yang terlibat," menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan. - Getaran, 6 Julai 2026

