Legasi seniman legenda, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee akan terus dipelihara sebagai sebagai khazanah budaya dan tonggak identiti negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, karya seni Allahyarham akan terus menjadi inspirasi dalam menyemai perpaduan serta memperkukuh keharmonian masyarakat merentas generasi.
Menurut beliau, pelakon, pengarah, komposer dan penyanyi legenda itu bukan sekadar meninggalkan deretan filem dan lagu yang malar segar, sebaliknya Allahyarham adalah tunjang warisan budaya bersama dan mencipta memori kolektif untuk membentuk kesedaran sejarah serta identiti nasional rakyat Malaysia sejak sekian lama.
“Beliau menggambarkan kehidupan masyarakat Malaysia pada zamannya, malah gambaran itu masih relevan hingga hari ini," katanya pada perasmian Minggu Memperingati P. Ramlee 2026 serta sambutan ulang tahun ke-100 rumah kelahiran seniman agung itu di Jelutong, Pulau Pinang.
Aaron berkata, karya P. Ramlee terus merentasi zaman kerana sarat dengan nilai-nilai murni yang menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang.
"P. Ramlee menghasilkan karya yang bukan sahaja mengubah landskap seni tempatan, malah menyebarkan nilai kemanusiaan dan perpaduan. Seni mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyatukan masyarakat kerana ia mewujudkan kesedaran bersama, sekali gus menyediakan ruang untuk rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya berkongsi emosi, nilai serta aspirasi, di samping memperkukuh identiti nasional dan keharmonian sosial," katanya.

Majlis yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Dilahirkan di Pulau Pinang pada 1929, P. Ramlee kekal sebagai antara tokoh seni dan budaya paling berpengaruh di Malaysia. Allahyarham meninggal dunia pada 1973 pada usia 44 tahun, namun legasi seninya terus mencorakkan landskap budaya negara hingga ke hari ini.
Program peringatan itu turut mengetengahkan rumah kelahiran P. Ramlee di Jelutong yang dibina pada 1926. Rumah berusia hampir satu abad itu kini dipulihara sebagai destinasi warisan yang memaparkan suasana zaman kanak-kanak beliau serta mendokumentasikan kehidupan awalnya di Pulau Pinang.
Perpustakaan Memorial yang terletak bersebelahan pula menempatkan koleksi lengkap berkaitan perjalanan seni P. Ramlee, termasuk rekod biografi, anugerah, artifak, kostum, memorabilia dan arkib filem. Turut dipamerkan ialah koleksi khas mengenai isteri beliau, Allahyarham Puan Sri Saloma, bagi memperkenalkan sumbangan dua ikon seni persembahan negara kepada generasi muda.

Berkongsi kenangan peribadinya, Tun Ramli menyifatkan P. Ramlee sebagai antara tokoh yang memberi pengaruh besar kepada masyarakat Malaysia, setanding dengan legenda Hang Tuah.
Beliau mengimbau kenangan ketika berusia sekitar sembilan atau 10 tahun apabila menyaksikan persembahan jelajah P. Ramlee di sebuah dewan lama di Teluk Anson, kini dikenali sebagai Teluk Intan, Perak, pada awal 1950-an.
"Saya dan rakan-rakan tidak dapat masuk ke dalam dewan, jadi kami mengintai melalui celah dinding kayu. Kami juga sempat menanggalkan beberapa papan lama untuk melihat dengan lebih jelas, namun bunyi itu disedari petugas sebelum kami dihalau keluar," katanya.
Tun Ramli turut berkongsi satu lagi kenangan apabila isterinya, yang ketika itu bertugas sebagai pegawai kredit di bekas Bank Bumiputera pada awal 1973, berpeluang bertemu P. Ramlee ketika seniman itu hadir bersama seorang rakan bagi memohon kemudahan kredit.
Sementara itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, usaha memelihara serta memperkenalkan kisah kehidupan dan perjuangan seni P. Ramlee perlu terus diperkasakan kerana sumbangan beliau amat berkait rapat dengan sejarah pembinaan negara dan wajar terus dihargai oleh generasi akan datang. - Getaran, 5 Julai 2026