KUALA LUMPUR - Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan seramai 300,000 pengundi luar akan pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung Sabtu ini.
Pengerusi LLM, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad, dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku di laluan utama menuju ke negeri tersebut.
Menurut beliau, semua kerja penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong akan ditangguhkan pada hari pengundian, iaitu 11 Julai 2026, kecuali kerja-kerja kecemasan, bagi memastikan perjalanan di lebuh raya berjalan lancar dan selamat.
“LLM turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan melalui Aplikasi TuJu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memastikan baki kad Touch ’n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi.
“Selain itu, pengguna diminta mematuhi had laju, berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan di lorong ketiga Lebuhraya Utara-Selatan antara Simpang Renggam dan Senai (arah utara), mematuhi arahan semasa pengaktifan SmartLane serta berhenti berehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah yang disediakan di sepanjang lebuh raya,” katanya.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik semasa dan sebarang insiden menerusi media sosial rasmi LLM, iaitu Facebook dan TikTok Lembaga Lebuhraya Malaysia di @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Selain itu, keadaan trafik secara langsung menerusi rakaman CCTV di semua lebuh raya boleh diakses melalui laman web rasmi LLM di www.llm.gov.my serta Saluran WhatsApp Info Trafik LLM. - Getaran, 8 Julai 2026
