KUALA LUMPUR - Pilihan raya bukan saluran untuk membebaskan mana-mana individu yang sedang menjalani hukuman.
Menegaskan perkara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menyatakan pilihan raya boleh digunakan untuk membebaskan individu tertentu.
Beliau yang yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) memberitahu, kuasa untuk memberikan pengampunan kepada mana-mana individu adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Tiada undang-undang yang menyatakan pilihan raya boleh membebaskan sesiapa.
“Pemberian pengampunan adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Ia tidak ada kaitan dengan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan beberapa pihak sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) boleh membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mengulas mengenai PRN Johor, Azalina berkata, jentera BN giat menjalankan kempen secara tersusun dan teratur dengan memberi tumpuan kepada keutamaan rakyat serta isu-isu tempatan di negeri itu.
“BN merupakan parti politik yang telah lama bertapak, dan pendekatan kempen kami banyak memberi fokus kepada keutamaan rakyat di negeri ini.
“Kami juga mempunyai program sistem keluarga angkat melibatkan negeri-negeri yang turut membantu memperkukuhkan kempen, khususnya dalam menangani isu-isu tempatan,” katanya.
Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan seramai 2.7 juta pengundi dijadualkan menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini. - Getaran, 7 Julai 2026

