JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa takut dengan bayang-bayang sendiri, apabila sengaja mencipta isu berhubung penggunaan gambar Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kempen MUDA.
Naib Presiden MUDA, Leben Siddarth berkata, PH dan BN lebih rela menyibukkan diri menjadi ‘kaki report’ kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang penggunaan gambar beliau dalam bahan kempen berbanding berdebat tentang idea, dasar dan solusi demi rakyat.
Menurut beliau, Syed Saddiq masih Ahli Parlimen Muar yang sah dan diberi mandat oleh rakyat.
“Beliau adalah ahli MUDA yang masih aktif, dan kekal sebagai antara wajah paling ikonik bagi parti ini.
“Tindakan MUDA menampilkan wakil rakyatnya sendiri dalam kempen adalah tidak salah dan tidak melanggar etika kempen. Apa yang lebih jelik dan menimbulkan persoalan adalah ‘timing’ tindakan ini,” katanya.

Jelas Leben, masalah sebenar terletak pada kedua gabungan itu, yang hilang keyakinan terhadap calon dan modal kempen mereka sendiri, hingga menyebabkan mereka ‘kecut perut’ dengan sekeping Ahli Parlimen MUDA.
“MUDA tidak akan sesekali tunduk pada gertakan murahan ini. Syed Saddiq tetap sebahagian daripada MUDA, dan MUDA akan terus berdiri teguh mempertahankan beliau.
“Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi untuk menilai sendiri siapa yang benar-benar menawarkan kepimpinan yang jujur, berprinsip, dan berintegriti,” katanya.
Bidas Leben, rakyat berhak mendapat persaingan demokrasi sihat berteraskan idea, bukan siri cubaan terdesak untuk membungkam lawan politik melalui kontroversi murahan yang direka-reka.
"Apa yang paling mengecewakan, episod jelik ini berlaku di bawah Kerajaan Perpaduan PH-BN ,sebuah kerajaan yang dahulunya bukan main lantang melaungkan kebebasan demokrasi, persaingan adil, dan reformasi politik.
“Sebaliknya, apa yang kita saksikan hari ini adalah cubaan dangkal untuk mempolitikkan bahan kempen dan mencipta gangguan tidak matang demi mengalih perhatian daripada isu sebenar yang menghimpit rakyat,” katanya, tajam.
Tegas Leben, perilaku itu adalah bukti nyata kerapuhan dan ketakutan mereka terhadap kedudukan politik masing-masing.
“MUDA akan kekal fokus kepada apa yang benar-benar penting iaitu mengetengahkan calon muda yang berwibawa, menyantuni pengundi dengan penuh hormat, dan berjuang demi Malaysia yang lebih baik.
“Kami mencabar pihak lawan untuk melakukan perkara yang sama jika mereka berani,” tegasnya. - Getaran, 7 Julai 2026

