PENGERANG - Nasib nelayan dan masa depan ekonomi persisir di Tanjung Surat tampil sebagai agenda utama yang bakal diperjuangkan calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani.
Ditemui selepas sidang media di sini, Faizul berkata, Tanjung Surat bukan sekadar sebuah kawasan pesisir, tetapi nadi penting yang menghubungkan komuniti nelayan, kawasan FELDA, kampung tradisi serta pembangunan pesat di Pengerang.
Menurut beliau, sudah tiba masa potensi sebesar itu diterjemah kepada peluang dan kesejahteraan yang benar-benar dirasai oleh rakyat.
“Komuniti nelayan merupakan tulang belakang ekonomi Tanjung Surat dan saya mahu perjuangkan sistem lesen nelayan yang lebih adil dan telus, memperkukuh kemudahan jeti serta pengkalan nelayan dan memperjuangkan kerja-kerja pendalaman sungai dan muara secara berkala.
“Ini semua demi memastikan nelayan mendapat akses kepada bantuan peralatan, teknologi dan skim sokongan ketika musim tengkujuh, biar hasil laut tempatan memberi pulangan yang lebih baik kepada nelayan melalui pengukuhan pemasaran dan ekonomi pesisir,” katanya.

Jelas Faizul, keputusan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bagaimanapun bukan berkisar kepada mengubah taraf hidup komuniti nelayan semata-mata, sebaliknya turut mencakupi aspek generasi kedua FELDA dan masa depan anak peneroka.
Generasi kedua dan ketiga FELDA tegasnya, perlu diberi peluang untuk membina masa depan di tanah kelahiran sendiri.
“Saya mahu pastikan isu perumahan generasi kedua FELDA dapat diselesaikan, selain memperluas peluang latihan TVET dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri.
“Pembangunan ekonomi FELDA perlukan sokongan agar anak-anak peneroka mempunyai lebih banyak pilihan pekerjaan dan keusahawanan tanpa perlu berhijrah,” katanya.
Beliau menarik perhatian, pembangunan pesati di Pengerang tidak akan memberi makna jika ia tidak mampu membawa manfaat kepada rakyat Tanjung Surat.
“Atas faktor ini, penubuhan Pusat Kerjaya Tanjung Surat dan kerjasama dengan industri diyakini mampu membuka lebih banyak peluang untuk usahawan tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri.
“Pembangunan hanya bermakna apabila rakyat tempatan turut menikmati limpahan ekonominya,” katanya.
Manifesto Faizul yang berlandaskan motto ‘Tanjung Surat Ke Depan, Undi HARAPAN’ turut menggariskan empat lagi agenda; memperkasa infrastruktur, mengubah ekonomi peneroka, peniaga kecil dan kos sara hidup, membangunkan eko pelancongan, warisan dan kampung pesisir serta mengutamakan kebajikan rakyat, belia dan wanita.
Kesemua tujuh teras itu tambah beliau, bukan sekadar manifesto pilihan raya, tetapi pelan tindakan yang dibina berdasarkan suara rakyat Tanjung Surat sendiri.
“Sebagai Ahli Dewan Negeri, saya akan menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat, kerajaan negeri Johor serta kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap isu diperjuangkan dan setiap peluang pembangunan dibawa pulang kepada kawasan ini.
“Saya percaya Tanjung Surat mempunyai segala kekuatan untuk muncul sebagai sebuah kawasan yang maju, makmur dan berdaya saing,” katanya. - Getaran, 8 Julai 2026
