KUALA LUMPUR - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting hari ini atas tuduhan menikam rakan sekolahnya.
Suspek yang memakai baju panas berhud dan menutup wajahnya, tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.32 pagi dengan diiringi anggota polis.
Sebelum ini, dia direman selama empat hari bermula 7 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Wartawan yang hadir seawal pagi tidak dibenarkan memasuki bilik mahkamah untuk mengikuti prosiding pendakwaan kerana kes tersebut melibatkan seorang tertuduh di bawah umur.
Terdahulu media melaporkan, rasa tidak puas hati terhadap seorang rakan dipercayai menjadi punca kejadian tikam oleh suspek, di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan awal bagaimanapun mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur buli. - Getaran, 10 Julai 2026
