JOHOR BAHRU - Barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor akan dibarisi calon yang penuh integriti dan bebas daripada rasuah, sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat memerintah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Memberi jaminan itu, calon Pakatan Harapan (PH) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, kesemua barisan pemimpin akan dipilih daripada kalangan individu yang benar-benar komited untuk berkhidmat kepada rakyat.
Menurut beliau, mereka akan dipilih berdasarkan kredibiliti dan keupayaan sebagai wakil untuk membawa suara rakyat, sekali gus menjadi mata dan telinga buat mereka.
"Apa yang saya boleh jamin, pada pilihanraya kali ini, Pakatan Harapan memberikan calon-calon yang terbaik untuk menjadi wakil rakyat pilihan tuan-tuan dan puan-puan.
"Kita akan pastikan wakil rakyat kita tidak akan ambil rasuah dan mereka akan bekerja pagi, petang, siang dan malam untuk rakyat," katanya ketika berucap di Grand Finale DUN Puteri Wangsa di Taman Pelangi Indah di sini malam tadi.
Maszlee yang juga mantan Menteri Pendidikan berkata, sistem penyampaian bantuan juga akan ditambah baik, demi memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat terus terpelihara.
“Kita mahu adakan sistem yang lebih cekap, bermaruah dan mesra rakyat. Rakyat tak perlu beratur panjang untuk mendapatkan bantuan.
“Kita belajar daripada Selangor. Bantuan boleh dimasukkan terus ke dalam akaun. Tak perlu beratur panjang dan menunggu di bawah panas untuk mengambil bantuan. Rakyat adalah tuan, rakyat bukan hamba," tegasnya, disambut tepukan gemuruh penyokong.
Beliau menarik perhatian, kerajaan negeri Selangor membuktikan bahawa bantuan boleh disalurkan dengan mudah dan pantas.
“Kita tak akan biarkan ibu bapa, nenek, datuk atau warga emas terpaksa beratur panjang untuk mengambil bantuan Kasih Johor. Rakyat Johor ada maruah dan harga diri,” katanya. - Getaran, 10 Julai 2026
