PENGERANG - Masalah nelayan tidak berlesen masih menghantui Tanjung Surat walaupun sejak sekian lama, dan ia kekal menjadi isu yang gagal diselesaikan sehingga kini.
Calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani mendedahkan, kegagalan mendaftarkan diri dengan persatuan nelayan setempat menyebabkan mereka ‘terpinggir’ daripada memperoleh sebarang bantuan disalurkan kerajaan.
Menurut beliau, senario tersebut membuatkan komuniti terbabit terus hidup dalam kesempitan, memandangkan itu adalah satu-satunya punca pendapatan yang ada.
“Komuniti nelayan di Tanjung Surat ini majoritinya adalah nelayan tradisional yang memang bergantung hidup kepada hasil sungai dan laut semata-mata.
“Bila tak mendaftar dengan persatuan, mereka tak dapat lesen. Bila tak ada lesen, operasi pun menjadi kecil sebab kalau mereka bergerak melebihi radius, akan berdepan pula dengan tindakan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pada program ‘Kendurian’ di Teluk Ramunia di sini.

Faizul menyatakan demikian ketika ditanya mengenai isu setempat yang masih menghantui DUN Tanjung Surat sejak sekian lama.
Jelas beliau, pihak yang berkenaan sebelum ini ternyata gagal menunaikan tanggungjawab untuk menyuntik kesedaran buat golongan berkenaan agar mendaftarkan diri.
“Kita kena sedar, pekerjaan sebagai nelayan di Tanjung Surat ini kebanyakannya adalah warisan ditinggalkan generasi terdahulu, justeru ramai beranggapan lesen bukan satu keperluan.
“Apa yang mereka tak sedar, bila nama tiada dalam pangkalan data sebagai nelayan berdaftar, segala insentif disalurkan ‘terhapus’ begitu sahaja,” katanya, kesal.
Kali pertama bertanding pada pilihan raya negeri (PRN), Faizul turut meluahkan rasa hampa apabila melihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini gagal menggunakan kelebihan yang ada untuk tampil membantu golongan terbabit.
“Nelayan tidak berlesen ni bukan isu baharu. Dah berzaman lamanya. Kalau betul ada tindakan diambil, kenapa masalah ini masih berlarutan,” katanya. - Getaran, 9 Julai 2026

