SHAH ALAM - Suspek kes tikam melibatkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting minggu lalu mendakwa bertindak demikian kerana tidak berpuas hati terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membulinya.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal polis setakat ini tidak menemukan sebarang bukti yang mengesahkan berlaku kejadian buli seperti didakwa suspek.
Menurutnya, polis telah mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk 10 pelajar bagi membantu siasatan, namun siasatan menyeluruh masih diteruskan.
“Polis meminta orang ramai memberi ruang kepada pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Pada peringkat awal, alasan diberikan suspek adalah kerana rasa tidak puas hati terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membulinya.
“Namun, bukti yang diperoleh setakat ini tidak menunjukkan berlaku kejadian buli,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek dipercayai berdepan masalah tekanan serta kemungkinan mempunyai isu keluarga yang kini sedang dinilai oleh pakar kaunseling.
Selain itu, polis turut menyiasat kemungkinan ada pengaruh media sosial terhadap pemikiran dan tindakan suspek, namun enggan mendedahkan platform yang terlibat.
“Siasatan juga mendapati suspek pernah terlibat dalam insiden terjun dari bangunan sekolah pada penghujung tahun lalu,” katanya.
Shazeli berkata, polis turut mengesahkan suspek memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah kategori autisme serta tidak hadir ke sekolah selama kira-kira lapan bulan kerana mengikuti pembelajaran di rumah susulan masalah kesihatan.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek mengambil kesempatan memasuki kawasan sekolah ketika pintu pagar dibuka dan kejadian itu bukan berpunca daripada kelemahan kawalan keselamatan sekolah.
“Polis juga mendapati suspek membeli senjata tajam secara dalam talian sebelum menyimpannya di dalam beg galas dan memasuki kawasan sekolah melalui pintu pagar utama yang terbuka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
Katanya, jumlah sebenar kesan tikaman masih belum dapat disahkan kerana polis masih menunggu laporan perubatan rasmi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera selepas ditikam di beberapa bahagian badan dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting pada Isnin lalu.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Banting untuk menerima rawatan, manakala suspek yang juga remaja perempuan ditahan polis bagi membantu siasatan. - Getaran, 9 Julai 2026
