Keputusan menukar tarikh dan lokasi konsert pada saat peminat sudah mula membuat perancangan bukan sesuatu yang mudah. Namun bagi Ratu Rock negara, Ella, kepuasan peminat sentiasa menjadi keutamaan.
Atas sebab itu, konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang sebelum ini diumumkan akan berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 25 Julai depan kini dipindahkan ke Setia SPICE Arena, Pulau Pinang dan dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos 2026.
Walaupun perubahan tersebut mengejutkan sebahagian peminat, ia sebenarnya dibuat selepas perbincangan menyeluruh antara pihak penganjur, pasukan produksi dan Ella sendiri bagi memastikan konsert istimewa sempena ulang tahun ke-60 penyanyi legenda itu dapat direalisasikan dalam suasana yang lebih selesa dan berkesan.
Pemilihan Setia SPICE Arena dilihat sebagai langkah terbaik kerana tempat tertutup itu mampu menawarkan pengalaman yang lebih dekat antara artis dan peminat, selain sistem akustik yang lebih terkawal serta suasana persembahan yang lebih imersif.
Faktor cuaca yang sering menjadi kebimbangan bagi acara berskala besar turut dapat dielakkan.
Lebih menarik, lokasi tersebut bukan asing buat Ella. Setia SPICE Arena pernah menjadi saksi kejayaan konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang menghimpunkan lebih 14,000 peminat beberapa tahun lalu.

Bagi ramai peminat setia, lokasi berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana menjadi antara lokasi yang memperlihatkan hubungan erat antara Ella dan peminatnya di utara tanah air.
Apa yang lebih menyentuh hati adalah apabila Ella sendiri mengakui keputusan itu dibuat demi memastikan peminat menerima pengalaman terbaik.
“Seperti biasa, keutamaan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada semua dan memastikan setiap persembahan menjadi pengalaman yang istimewa.‘Homecoming’ Insya-Allah akan tetap berlangsung, saya sangat teruja untuk kembali bertemu mereka di Utara yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” ulas Ella.
Kenyataan tersebut selari dengan semangat yang dibawa menerusi konsert berkenaan.
Sebelum ini, Ella pernah menggambarkan Homecoming Edisi 60 Permata Biru sebagai sebuah penghargaan buat peminat yang terus setia bersamanya sepanjang hampir empat dekad perjalanan seni yang penuh warna-warni.
Tidak cukup dengan itu, dalam sidang media baru-baru ini, penganjur turut mengumumkan kehadiran dua nama besar industri muzik tanah air iaitu Ramli Sarip dan Ziana Zain sebagai jemputan istimewa. Beberapa nama lain juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

Untuk konsert Ogos ini, Majlis Tertinggi Rockqueen memilih tema 90's Glam Rock: Battle of The Bands, jadi para peminat turut digalakkan tampil dengan gaya fesyen yang mengimbau era kegemilangan rock tempatan.
Bagi yang belum mendapatkan tiket, tiket masih dijual di www.hitmanlive.com pada harga asal tanpa sebarang perubahan. Harga tiket bermula serendah RM39 sehingga RM499 mengikut kategori tempat duduk.
Peminat yang telah membeli tiket sebelum pengumuman perubahan lokasi pula tidak perlu bimbang kerana tiket sedia ada akan dipindahkan secara automatik ke tempat duduk yang mempunyai nilai setara tanpa kos tambahan.

Dalam masa sama, konsert berkenaan turut membawa misi kebajikan menerusi kempen Peace, Love & Rindu.
Sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang dijual akan disalurkan kepada badan kebajikan terpilih termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair. - Getaran, 19 Jun 2026
