LONDON - Andy Burnham secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK) selepas menggantikan Keir Starmer, menandakan satu lagi pertukaran kepimpinan dalam tempoh sedekad yang penuh pergolakan politik serta permulaan kepada agenda besar bagi merombak ekonomi dan perkhidmatan awam Britain.
Selepas ucapan perpisahan Sir Keir Starmer di luar 10 Downing Street serta penyerahan rasmi peletakan jawatannya kepada Raja Charles III, Burnham menghadap baginda sebelum diperkenankan untuk membentuk kerajaan baharu.
Bekas Datuk Bandar Greater Manchester berusia 56 tahun itu kini berdepan cabaran segera untuk membentuk barisan Kabinet selain menangani kebimbangan yang semakin meningkat terhadap pertumbuhan ekonomi perlahan, peningkatan kos sara hidup serta prestasi perkhidmatan utiliti awam yang tidak memuaskan.
Menggambarkan kemenangan beliau sebagai titik perubahan dalam landskap politik Britain, Burnham berikrar untuk mengubah secara menyeluruh hala tuju politik dan ekonomi negara.
Beliau menyifatkan pemilihannya sebagai pemimpin Parti Buruh sebagai “detik perubahan paling penting dalam politik Britain sejak 40 tahun lalu”, sambil berjanji melaksanakan pembaharuan besar terhadap sistem politik negara bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kerajaan yang saya pimpin akan mula menggariskan hala tuju itu dengan yakin bermula minggu depan,” katanya pada 17 Julai sambil berjanji membawa harapan baharu dan perubahan yang “amat dinantikan” rakyat Britain.
“Ia akan membawa kita ke arah sebuah negara yang kos kehidupannya lebih mampu ditanggung serta memastikan semua rakyat dan setiap wilayah menikmati peningkatan daripada kedudukan mereka ketika ini,” katanya.
Kenaikan Burnham turut disambut baik oleh ahli Parlimen Parti Buruh yang percaya beliau lebih berupaya berbanding pendahulunya untuk mengekang peningkatan cabaran politik daripada pemimpin Reform UK, Nigel Farage.
Antara keutamaan awal Burnham ialah mengumumkan pelantikan menteri kanan Kabinet, dengan jawatan Canselor Perbendaharaan dijangka menjadi pelantikan yang paling mendapat perhatian.
Setiausaha Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih, Ed Miliband, sebelum ini dianggap sebagai calon utama untuk portfolio Perbendaharaan. Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood, kini muncul sebagai calon pilihan susulan spekulasi dalaman parti.
Burnham bagaimanapun menepis laporan berhubung pemilihan anggota Kabinetnya.
Beliau menggesa ahli Parti Buruh agar mengabaikan segala spekulasi pada 17 Julai sambil menegaskan bahawa beliau masih belum membuat keputusan mengenai barisan pentadbirannya.
Kerajaan baharu itu turut memberi isyarat akan bertindak pantas melaksanakan dasar baharu. Pada 19 Julai, Burnham membatalkan rancangan mewajibkan semua pekerja memiliki dokumen pengenalan diri digital, sekali gus menggugurkan skim yang bertujuan membendung migrasi haram selepas ia dikritik oleh jawatankuasa Parlimen dwipartisan sebagai satu “kegagalan besar”.
Tumpuan kini beralih kepada strategi fiskal kerajaan yang merangkumi percukaian, perbelanjaan awam, dasar tenaga serta pembaharuan terhadap syarikat utiliti yang bergelut, yang menurut Burnham perlu dikenakan pengawasan awam yang lebih ketat.
Timbalan pemimpin Parti Buruh, Lucy Powell, pada 19 Julai mencadangkan syarikat utiliti air Thames Water yang dibebani hutang boleh diletakkan di bawah “langkah khas”, sekali gus membolehkannya beroperasi di bawah kawalan kerajaan.
“Beliau mahu memfokuskan semula dan menyusun semula keutamaan sumber serta perhatian kerajaan kepada agenda utamanya iaitu menangani kos sara hidup dan merombak secara menyeluruh cara negara serta ekonomi berfungsi,” katanya kepada Sky News. - Getaran, 20 Julai 2026

