KUALA LUMPUR - Malaysia berisiko mengalami suhu tertinggi dalam sejarah tahun depan apabila fenomena cuaca El Niño dijangka meningkat, dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran tempoh cuaca panas yang berpanjangan serta pengurangan taburan hujan di seluruh negara.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, fenomena El Nino dijangka mencapai kemuncaknya antara Mac hingga Mei 2027, dengan suhu maksimum berpotensi melepasi rekod tertinggi negara iaitu 40.1 darjah Celsius yang dicatatkan di Chuping, Perlis pada 1998.
El Nino ialah kitaran iklim semula jadi yang dicirikan oleh kelemahan tiupan angin pasat serta peningkatan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik.
Fenomena ini sering dikaitkan dengan cuaca ekstrem seperti kemarau, banjir dan gelombang haba.
Pakar iklim turut memberi amaran, kitaran El Nino semasa berpotensi berkembang menjadi fenomena yang kuat atau sangat kuat, sekali gus meningkatkan risiko gangguan cuaca lebih serius.
“Berdasarkan data ini, kita menjangkakan akan berlaku satu lagi peningkatan suhu yang ketara,” kata Mohd Hisham kepada Reuters, sambil menambah, pemanasan global turut menyumbang kepada peningkatan suhu.
Beliau berkata, purata suhu di Malaysia terus menunjukkan trend peningkatan sejak tahun 1980-an, dengan suhu tertinggi lazimnya direkodkan ketika berlakunya episod El Niño berskala besar.
MetMalaysia menjangkakan jumlah taburan hujan akan berkurangan dengan ketara manakala suhu akan meningkat di seluruh negara.
Kawasan utara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak dijangka menerima kesan yang paling teruk.
Sabah dan Sarawak, yang merupakan antara kawasan pengeluar utama minyak sawit negara, turut berdepan cabaran akibat cuaca yang lebih panas dan kering, sekali gus berpotensi menjejaskan aktiviti pertanian serta bekalan air.
Menurut Mohd Hisham, Sabah secara tradisinya mengalami antara kesan paling ketara daripada fenomena El Niño berikutan kedudukan geografinya yang lebih hampir dengan Lautan Pasifik.
Amaran itu dikeluarkan ketika negara-negara di rantau ini terus berdepan peningkatan risiko perubahan iklim, dengan kenaikan suhu global memburukkan lagi kesan kitaran cuaca semula jadi. - Getaran, 20 Julai 2026

