KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengarahkan supaya satu inkues dijalankan berhubung kematian tiga lelaki yang maut ditembak dalam satu operasi polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November 2025.
Dalam satu kenyataan AGC memaklumkan, inkues itu akan dijalankan mengikut Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah selepas meneliti keseluruhan kertas siasatan polis serta semua bukti yang tersedia.
Prosiding berkenaan bertujuan menentukan punca dan keadaan yang membawa kepada kematian ketiga-tiga lelaki itu, selain mengesahkan fakta-fakta berkaitan insiden tersebut.
Menurut AGC, inkues tersebut turut bertujuan menentukan sama ada wujud sebarang unsur jenayah berhubung kematian tiga individu terbabit, susulan insiden tersebut.
AGC berkata, pihaknya memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa, dan keputusan mengadakan inkues mencerminkan komitmennya untuk memastikan semua fakta serta keadaan berkaitan disiasat secara menyeluruh, telus dan bebas.
“Jabatan ini kekal komited memastikan setiap tindakan dan proses perundangan dilaksanakan secara adil, profesional serta selaras dengan kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Keputusan berkenaan dibuat susulan penyerahan semula kertas siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas melengkapkan keperluan siasatan tambahan.
Pada 26 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata polis telah menyerahkan semula kertas siasatan yang lengkap kepada AGC selepas memenuhi beberapa arahan lanjut.
Kes itu berpunca daripada satu insiden di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, apabila tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun maut ditembak.
Seorang daripada mereka didakwa menyerang seorang anggota polis menggunakan parang.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi pada 24 November 2025 itu, seorang koperal polis berusia awal 30-an mengalami kecederaan parah pada lengan kirinya. - Getaran, 20 Julai 2026

