KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan dan melepaskan balu bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat dengan arwah suaminya menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dikaitkan dengan pelaburan amanah saham Felcra Berhad bernilai RM150 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad, membacakan keputusan itu pada akhir kes pembelaan kira-kira jam 9.30 pagi.
Zizie Izette, 47, yang juga isteri kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mendapatkan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Pihak pembelaan menutup kes selepas Zizie Izette selesai memberikan keterangan pembelaannya pada 5 Mac lalu, manakala Bung Moktar memberikan keterangannya pada 2 September 2025 selepas pasangan itu gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan mereka membela diri.
Mahkamah Rayuan pada 18 November 2024 membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 yang sebelum itu membebaskan pasangan berkenaan daripada semua pertuduhan.
Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh Bung Moktar dan Zizie Izette terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang mengarahkan mereka membela diri.
Bagaimanapun, pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan Bung Moktar daripada ketiga-tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap bekas ahli politik itu yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025.
Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob mengarahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas semua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.
Wang itu didakwa sebagai habuan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya Felcra Berhad melaburkan RM150 juta dalam produk amanah saham Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar menerima rasuah sebanyak RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan yang sama.
Beliau turut didakwa bersubahat dengan suaminya menerima rasuah sebanyak RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati pada 12 dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan. - Getaran, 20 Julai 2026
