KUALA LUMPUR - Seorang gadis Rohingya berusia 19 tahun berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkannya awal bulan ini.
Tertuduh, Nor Aishahkila Hussein, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian bayi berkenaan dengan cara mencampakkannya dari tingkap sebuah bilik hotel, sehingga bayi itu terjatuh ke lorong di bawah bangunan tersebut.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di tingkat dua di Jalan Idaman 9/1, Business Precinct 8, Taman Nusa Idaman, kira-kira jam 1.28 pagi 5 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika hukuman mati tidak dijatuhkan, sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd. Shariffudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan memerintahkan gadis yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan reman di Penjara Simpang Renggam, Kluang sehingga sebutan semula kes.
Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Getaran, 17 Julai 2026

