KUALA LUMPUR - Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, hari ini diberi Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara sempena lawatan negara pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada September 2023.
Presiden Tharman bersama isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam, tiba di Istana Negara pada jam 10 pagi dan disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Turut hadir pada istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang bertindak sebagai Menteri Pengiring bagi lawatan itu; barisan menteri Kabinet serta anggota kerabat diraja.
Antara kerabat diraja yang hadir ialah anakanda baginda, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim, dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Istiadat yang berlangsung di Dataran Istana Negara itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Utama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), diikuti tembakan hormat 21 das oleh Bateri Ke-41 Rejimen Artileri Diraja.
Presiden Tharman kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang dianggotai empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama RAMD, diketuai Mejar Mohd Masrur Hidayat Masri.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kemudiannya berkenan menerima menghadap Presiden Tharman, isteri serta delegasi Singapura di Dewan Seri Maharaja.
Pada majlis itu, kedua-dua pihak turut menyaksikan pertukaran cenderamata kenang-kenangan.
Seri Paduka Baginda berdua juga dijadualkan meraikan Presiden Tharman dan delegasi Singapura pada Majlis Santapan Negara di Dewan Santapan Utama sebagai menghargai lawatan tersebut.
Presiden Tharman mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia bermula 13 hingga 15 Julai atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurut Kementerian Luar Negeri, lawatan itu merupakan kunjungan balas terhadap lawatan negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024, sekali gus mencerminkan hubungan rapat dan erat yang telah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Lawatan Presiden Tharman juga merupakan lawatan negara keempat yang diterima Sultan Ibrahim sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, selepas menerima kunjungan Sultan Brunei, Presiden China dan Presiden Indonesia.
Singapura kekal sebagai rakan dagang global kedua terbesar Malaysia serta rakan dagang terbesar negara dalam kalangan anggota ASEAN.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (AS$93.97 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, perdagangan dua hala terus mencatat pertumbuhan sebanyak 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (AS$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (AS$37.65 bilion) bagi tempoh sama pada 2025. - Getaran, 13 Julai 2026

