KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 503 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi Op Mega yang dilaksanakan secara serentak di 16 lokasi di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada premis perniagaan yang disyaki menggaji pekerja asing secara haram atau menyalahgunakan pas pekerjaan.
Menurutnya, operasi yang bermula pada jam 11 pagi Isnin itu melibatkan lebih 876 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seramai 2,260 individu terdiri daripada warga asing dan majikan telah diperiksa. Daripada jumlah itu, 503 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, seramai 120 individu dipanggil sebagai saksi, termasuk penjaga, warganegara Malaysia atau majikan yang mempunyai kaitan dengan pekerja asing terbabit, dan mereka akan diberikan saman bagi tujuan memberi keterangan,” katanya kepada pemberita ketika operasi di Jalan Kenanga, di sini.
Zakaria berkata, mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta memiliki kad tidak diiktiraf.
Beliau berkata, beberapa individu yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) turut ditahan bagi membolehkan pihak berkuasa mengesahkan ketulenan dokumen mereka sebelum tindakan lanjut diambil.
“Jika kad tersebut disahkan tulen, tindakan susulan akan diambil sama ada melepaskan mereka atau merujuk kes kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan pelanggaran syarat pas, termasuk pekerja sektor pembinaan yang didapati bekerja di premis lain seperti kedai tekstil dan pakaian,” katanya.
Beliau menegaskan JIM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan di seluruh negara dengan mengenal pasti lokasi tumpuan yang menggaji pekerja asing tanpa izin.
“Kami tidak akan berkompromi dan tidak akan memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk terus berada di negara ini secara tidak sah,” katanya.
Sementara itu, JIM Kuala Lumpur merekodkan 845 pertuduhan membabitkan 801 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, jumlah pertuduhan tertinggi melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, dengan sebanyak 556 pertuduhan direkodkan.
Beliau berkata, dalam tempoh sama, jabatan itu turut mengutip kompaun berjumlah RM10.04 juta bagi pelbagai kesalahan imigresen.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen. Ini termasuk majikan, pemilik premis serta individu yang melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin,” katanya. - Getaran, 13 Julai 2026

