KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tafsiran perkataan “perbelanjaan” dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak boleh disamakan dengan “pengeluaran wang” kerana kedua-duanya membawa maksud berbeza.
Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, ketika menyampaikan penghakiman majoriti berkata, tindakan Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, mengeluarkan RM1 juta daripada akaun sayap pemuda itu semata-mata tidak boleh dianggap sebagai kesalahan pecah amanah jenayah (CBT).
Beliau berkata, perlembagaan parti hanyalah satu set peraturan dalaman yang mengawal sesebuah parti politik dan sebarang pelanggaran terhadapnya boleh membawa kepada tindakan disiplin oleh parti, namun tidak semestinya membentuk suatu kesalahan jenayah.
“Jika terdapat dua tafsiran yang munasabah terhadap sesuatu peruntukan, tafsiran yang memihak kepada tertuduh hendaklah diterima,” katanya.
Menurut beliau, alasan rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak mempunyai merit selepas mahkamah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan.
“Selepas meneliti keseluruhan keterangan, mahkamah bersetuju bahawa sabitan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi bagi keempat-empat pertuduhan adalah tidak selamat. Sehubungan itu, rayuan pihak pendakwaan ditolak.
“Keputusan Mahkamah Rayuan untuk melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada keempat-empat pertuduhan dikekalkan. Itulah keputusan saya,” katanya.
Hakim Che Mohd Ruzima bersama Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan dakwaan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Armada kira-kira enam tahun lalu.
Keputusan majoriti 2-1 itu menyaksikan Syed Saddiq terus bebas daripada semua pertuduhan berkenaan.
Dalam penghakiman yang sama, Che Mohd Ruzima turut memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan RM120,000 yang didakwa disalah guna oleh Syed Saddiq adalah milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).
Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan wang RM120,000 dalam akaun ABBE adalah milik syarikat itu, malah saksi pendakwaan ke-13 sendiri mengakui wang tersebut dikumpulkan menerusi dua program kutipan dana bagi kempen pilihan raya Syed Saddiq di Muar.
Katanya, pegawai penyiasat turut mengesahkan kedua-dua program kutipan dana itu bertujuan membiayai kempen pilihan raya responden.
Sementara itu, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, dalam penghakiman berbeza (dissenting judgment), membenarkan sebahagian rayuan pihak pendakwaan dan berpendapat sabitan terhadap Syed Saddiq bagi tiga lagi pertuduhan wajar dikembalikan.
Bagaimanapun, beliau mengekalkan keputusan membebaskan Syed Saddiq daripada pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah kerana berpendapat satu elemen penting kesalahan itu tidak dinyatakan dengan jelas dalam pertuduhan.
Beliau berkata, tiada apa-apa dalam pertuduhan yang menjelaskan bagaimana wang itu telah disalahgunakan secara tidak jujur dan yang lebih penting, bagaimana responden didakwa bersubahat dalam perbuatan tersebut.
“Dengan segala hormat, saya berpendapat pertuduhan itu tidak mengandungi maklumat yang mencukupi untuk menghendaki responden menjawabnya.
“Alasan ini sahaja sudah memadai untuk menghalang responden daripada disabitkan bagi pertuduhan pertama,” katanya.
Namun, Abu Bakar tidak bersetuju dengan penilaian Mahkamah Rayuan terhadap pertuduhan salah guna harta secara tidak jujur dan berpandangan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan tersebut.
Beliau berkata, wang itu bukan milik Syed Saddiq kerana ia merupakan sumbangan penderma yang dikumpulkan melalui aktiviti kutipan dana.
Katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa para penderma tidak pernah dimaklumkan sumbangan mereka akan digunakan bagi membayar balik perbelanjaan peribadi responden yang didakwa telah ditanggung lebih awal.
"Tiada sebarang bukti menunjukkan kutipan dana itu dijalankan bagi tujuan membayar balik perbelanjaan responden.
“Tiada seorang pun penderma dimaklumkan bahawa sumbangan mereka akan digunakan untuk tujuan tersebut. Oleh itu, kesalahan salah guna harta secara tidak jujur telah berjaya dibuktikan,” katanya.
Abu Bakar turut berpandangan bahawa dua pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Syed Saddiq juga berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan. - Getaran, 13 Julai 2026

