KUALA LUMPUR - Seorang wanita berusia 27 tahun maut manakala dua lelaki cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 298.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, kereta jenis Perodua Bezza berwarna coklat yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
Menurut beliau, kenderaan tersebut terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum merempuh penghadang besi dan berpusing di lokasi kejadian.
"Sebuah kereta berwarna putih yang datang dari arah belakang kemudiannya melanggar Perodua Bezza berkenaan sebelum terus beredar dari lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan pelanggaran tersebut, mangsa wanita berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 20 tahun, serta seorang lagi penumpang lelaki berusia 22 tahun dilaporkan mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Serdang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-3818422.
Dalam pada itu, Naazron turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan cermat, serta mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. - Getaran, 12 Julai 2026

