KUALA LUMPUR - Warga Israel yang didapati menetap di Malaysia akan diusir serta-merta, sekiranya siasatan yang sedang dijalankan mengesahkan kesahihan dakwaan berhubung sebuah komuniti teknologi di Forest City, Johor.
Memberikan amaran itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel dan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran dasar imigresen serta dasar luar negara.
Perdana Menteri berkata, semua agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan mengenai dakwaan tersebut dan beliau percaya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan memberikan penjelasan lanjut.
“Kita sedang menyiasat perkara ini dan kita tidak akan membenarkannya kerana kita tidak mengiktiraf Israel.
“Mereka akan diusir serta-merta sekiranya dakwaan itu terbukti benar. Semua agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media hari ini.
Anwar menyatakan demikian sebagai mengulas gesaan kerajaan Johor supaya pihak berkuasa Persekutuan menyiasat dakwaan warga Israel yang memiliki dwi kerakyatan dan menetap di sebuah komuniti teknologi persendirian dikenali sebagai “Network School” di Forest City.
Komuniti berkenaan, yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi Balaji Srinivasan, beroperasi sebagai hab kediaman dan ruang kerja bersama persendirian, dengan menyasarkan golongan menggelarkan diri mereka sebagai “techno-optimists”.
Penghuninya dikenakan yuran bulanan sebanyak AS$1,500, yang merangkumi penginapan, makanan serta akses kepada pelbagai kemudahan bersama termasuk gimnasium.
Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguat kuasa lain menyemak status kewarganegaraan individu yang menetap dalam komuniti berkenaan, termasuk sama ada mereka menggunakan pasport kedua untuk terus berada di Malaysia.
Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Digital menyiasat status perundangan Network School, susulan dakwaan ia tidak menawarkan perkhidmatan pendidikan formal atau beroperasi sebagai institusi pengajian tinggi yang diiktiraf.
Zambry dijangka memberikan penjelasan lanjut ketika siasatan berhubung perkara itu diteruskan. - Getaran, 15 Julai 2026.

