KUALA PILAH - Semua parti politik digesa agar tidak menjadikan institusi diraja Negeri Sembilan sebagai bahan kempen, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan mempolitikkan institusi beraja boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem Raja Berperlembagaan negara.
Berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam tadi, Perdana Menteri berkata, segala perkara melibatkan institusi diraja hendaklah terus ditangani berpandukan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkuat kuasa, bukannya dipengaruhi naratif politik.
“Saya ingin tegaskan supaya perkara ini tidak dijadikan permainan politik. Kita mesti menghormati institusi diraja kerana ia merupakan salah satu tonggak Perlembagaan negara.
“Kita tidak mahu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat atau Tunku Besar Tampin diheret ke dalam pilihan raya ini kerana ia tidak relevan. Sistem ini perlu dipelihara dan kita tidak boleh sama sekali melanggar prinsip Perlembagaan,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, sebarang keputusan dibuat perlu berasaskan Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Selagi sistem ini tidak berubah, menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin,” katanya.
Presiden PKR itu berkata, beliau menolak sebarang cubaan menjadikan institusi beraja sebagai subjek pertikaian politik kerana tindakan sedemikian hanya akan melemahkan penghormatan terhadap sistem Raja Berperlembagaan.
“Jangan gunakan isu ini dalam pilihan raya. Ia bukan soal takut atau bimbang, tetapi tanggungjawab kita mempertahankan Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan negara.
“Jika kita mula menjadikannya isu politik, ia tidak akan berkesudahan,” katanya.
Beliau turut menggesa semua parti politik menjalankan kempen secara bertanggungjawab dengan mengelakkan penggunaan sentimen kaum dan agama, serta tidak melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap pihak lawan semata-mata untuk meraih sokongan.
Anwar menegaskan, Kerajaan Persekutuan kekal komited mempertahankan semua prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk sistem Raja Berperlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
“Saya menyeru kita bersaing secara sihat dalam politik. Tidak perlu memfitnah atau menghina orang lain atas dasar kaum atau agama.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan kita mesti terus mempertahankan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Menyentuh masa depan Negeri Sembilan, Anwar berkata negeri itu memerlukan kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti bagi memastikan pembangunan serta kemakmurannya dapat diteruskan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mampu meneruskan kepimpinan negeri dengan lebih berkesan melalui kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin Tok Min mampu memimpin Negeri Sembilan dengan lebih baik kerana kerajaan negeri sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Negeri ini tidak seharusnya ketinggalan dalam apa jua aspek, sebaliknya perlu terus membangun dan makmur seperti negeri-negeri lain supaya manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amiruddin Shari; serta Ketua Penerangan PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil. - Getaran, 15 Julai 2026

