KUALA LUMPUR - Seorang pempengaruh media sosial dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun 10 bulan di sebuah bilik di Taman Kangar kira-kira jam 3.10 pagi pada 17 Jun lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabila Ahmad Poad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat supaya dia melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak menghubungi mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 13 Julai lalu, polis menahan tertuduh selepas menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan awal turut dijalankan berhubung dakwaan tertuduh merakam gambar lucah mangsa di sebuah rumah sewa di Taman Kangar. - Getaran, 17 Julai 2026

