KUALA LUMPUR - Seorang pelajar universiti awam berusia 22 tahun kerugian lebih RM56,000 selepas dipercayai menjadi mangsa ‘love scam’ oleh seorang wanita yang dikenalinya menerusi aplikasi Telegram.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan polis pada petang Khamis selepas menyedari dirinya telah diperdaya.
Menurut beliau, mangsa mula berkenalan dengan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Maria Adibah Abd Aziz di Telegram pada 11 Mei lalu.
Katanya, suspek mendakwa bekerja di sebuah syarikat pemasaran dalam talian di Kuala Lumpur sebelum meminta mangsa meminjamkan wang kononnya bagi membuat bayaran diperlukan majikannya.
“Suspek turut didakwa menawarkan untuk menunjukkan bahagian sulitnya serta menjalinkan hubungan intim dengan mangsa sekiranya menerima wang berkenaan.
“Percaya dengan dakwaan itu, mangsa telah melakukan kira-kira 45 transaksi antara 11 Mei hingga 4 Julai menggunakan akaun RHB Bank, Bank Islam dan dompet digital MAE miliknya,” katanya.
Azli berkata, kesemua pembayaran berjumlah RM56,375 itu dibuat nenggunakan imbasan kod QR yang dipautkan kepada akaun diberi oleh suspek.
“Mangsa tidak pernah bertemu suspek secara bersemuka dan hanya berhubung menerusi mesej di aplikasi Telegram.
“Suspek terus meminta wang sehingga mangsa akhirnya mula mengesyaki dirinya menjadi mangsa penipuan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Getaran, 17 Julai 2026

