KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadualkan menjalani satu prosedur berkaitan jantung di Hospital Serdang, minggu depan.
Perkara itu disahkan pegawai khas beliau, Ahmad Lutfi Azhar, kepada New Straits Times hari ini.
“Beliau kini berada dalam keadaan stabil,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.
Najib, 72, kini sedang menjalani hukuman penjara selama enam tahun selepas disabitkan kesalahan dalam kes membabitkan SRC International Sdn. Bhd.
Tempoh hukuman tersebut dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.
Selain itu, Mahkamah Tinggi turut menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun terhadap beliau selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hukuman penjara berkenaan akan bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara yang sedang berkuat kuasa.
Najib telah mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman dalam kes 1MDB. - Getaran, 17 Julai 2026

